BERNAMA
Ahmad Zahid (kiri)
menyampaikan cenderahati kepada Abul Hassan, ketika menerima kunjungan
Menteri Luar Bangladesh itu di pejabatnya, di Bangunan Perdana Putra,
hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA, Tiada tindakan lanjut akan diambil ke atas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah diambil keterangan berhubung kebocoran maklumat siasatan di media sosial.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri ketika memberi jaminan
itu berkata, tindakan yang diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas
pegawai SPRM sekadar untuk mengambil keterangan.
“Saya jamin tidak ada penahanan akan
dibuat oleh PDRM, melainkan sekadar mengambil kenyataan daripada pegawai
berkenaan. Saya jamin tiada tindakan lanjut akan berlaku.
“Kita tidak mahu sebelum ada kesimpulan
hasil penyiasatan, maklumat ini telah dibocorkan beberapa individu,”
katanya selepas menerima kunjungan hormat Menteri Luar Bangladesh, Abul
Hassan Mahmood Ali, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, sekiranya terdapat
pegawai SPRM yang ditahan pada masa akan datang, ia adalah sebagai
mematuhi prosedur siasatan polis.
Beliau berkata, siasatan yang dijalankan
berhubung kebocoran maklumat di media sosial juga tidak hanya
memfokuskan SPRM, sebaliknya turut membabitkan beberapa agensi lain.
Jelasnya, kebocoran maklumat siasatan di media sosial tidak seharusnya berlaku, kerana ia tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
“Tentu kita mengesyaki ada agenda
tersembunyi kenapa kebocoran itu dilakukan. Tiada mana-mana negara di
dunia izinkan kebocoran berlaku,” katanya.
Mengenai kenyataan Pengarah Bahagian
Operasi Khas SPRM, Datuk Bahari Mohammad Zin ada ‘tangan ajaib’
mengarahkan PDRM bertindak ke atas SPRM, Ahmad Zahid berkata: “Ia bukan
kenyataan rasmi SPRM, tapi individu berkenaan memperlihatkan rasa kecewa
terhadap apa yang berlaku.”
Setakat ini, tujuh pegawai SPRM telah memberi keterangan kepada polis Bukit Aman, berhubung kes kebocoran maklumat.
SPRM terbabit dalam siasatan berkaitan
SRC International dan kemasukan dana RM2.6 bilion ke akaun peribadi
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahmad Zahid berkata, hubungan baik antara
PDRM dan SPRM perlu dikekalkan, untuk membantu meningkatkan
kebolehpercayaan, kewibawaan dan kredibitili semua pihak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan