KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengesahkan menerima
makluman rasmi bahawa sesi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)
mengenai siasatan 1MDB ditunda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan
kelak, lapor Astro Awani.
Menurut 1MDB, perkembangan tersebut dimaklumkan secara rasmi daripada Setiausaha Dewan Rakyat pada Isnin.
"Hari ini, melalui Kementerian Kewangan, kami menerima makluman rasmi
daripada Setiausaha Dewan Rakyat/Setiausaha Jawatankuasa Kira-Kira Wang
Negara bahawa sesi PAC yang dijadualkan pada 4, 5, 6, 17 dan 18 Ogos
serta 8 dan 10 September 2015 telah ditunda ke satu tarikh yang akan
dimaklumkan kelak," kata 1MDB dalam satu kenyataan media.
Pada masa yang sama, 1MDB mengulangi komitmennya sentiasa menghormati
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara sebagai pihak berkuasa yang sah dan
forum yang paling tepat untuk menjawab sebarang persoalan mengenai 1MDB.
"Kami mempunyai keyakinan bahawa jawatankuasa dwi-partisan ini akan
memberi peluang seadilnya untuk 1MDB memberi penjelasan tentang
kedudukan syarikat kepada pihak berkuasa yang sah, mengikut keperluan
proses wajar," kata 1MDB.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy
sepatutnya dijadual memberikan keterangan kepada PAC pada. Bekas CEO
syarikat itu, Datuk Shahrol Halmi pula ditetapkan memberi keterangan
sehari kemudian.
Kehadiran mereka ditunggu-tunggu kerana sebelum ini mereka gagal hadir pada prosiding yang ditetapkan pada 26 Mei lepas.
Selain Arul Kanda dan Shahrol, laporan media sebelum ini menyebut CEO
1MDB antara Mac 2013 hingga Januari 2015, Hazem Abdul Rahman akan
dipanggil pada 6 Ogos berdasarkan maklumat-maklumat baru yang
dikumpulkan oleh PAC sepanjang siasatannya.
PAC juga sebelum ini mahu memanggil bekas ahli lembaga pengarah 1MDB
Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Tan Sri Azlan Zainol pada 17 Ogos manakala
ahli lembaga pengarah yang lain pada 18 Ogos.
PAC, badan dwi partisan yang menyiasat 1MDB terdiri daripada 13 orang
ahli, lapan daripada Barisan Nasional dan lima anggota parlimen
pembangkang.
Empat anggota termasuk Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed telah
meletakkan jawatan selepas menerima jawatan Timbalan Menteri oleh
Perdana Menteri pada 29 Julai lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan