HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Ogos 2015

Ahli Parlimen BN tolak cadangan PAS buat sidang khas Parlimen 1MDB

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tidak perlu terlalu gelojoh hingga mahu mendesak Perdana Menteri mengadakan sidang parlimen khas bagi merungkai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tegas Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.
 
Ujarnya lagi, isu 1MDB sudah beberapa kali dibincangkan menerusi platform berkenaan sebelum ini, namun apa yang penting kepercayaan yang diletakkan kepada petugas khas yang menyiasat skandal berkenaan.
 
"Saya fikir tidak perlu diadakan sidang parlimen tergempar hanya semata-mata membincangkan isu 1MDB ia sedang dalam siasatan pihak berkuasa terutama oleh Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan oleh kerajaan.
 
"Malah apabila PAC sendiri nanti selesai mengadakan siasatan termasuk laporan audit ia juga akan dibincangkan dalam dewan rakyat. 
 
"Memang perkara ini penting kerana ia menjadi perhatian rakyat. Namun kita kena berikan keyakinan pada pihak berkuasa menyelesaikan tugas mereka dahulu. Jadi pada saya tiada keperluan untuk membincangkan dalam dewan rakyat," katanya menerusi satu kenyataan kepada Antarapos.
 
Shamsul mengulas cadangan PAS yang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan satu sidang khas parlimen bagi merungkai skandal syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu.
 
Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan berkata isu 1MDB perlu dibawa ke sidang khas kerana ia hal yang mustahak dan melibatkan kepentingan serta keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
 
Sabtu lalu, ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Seremban, Najib menegaskan bahawa kerajaan amat bersungguh dalam menyelesaikan isu 1MDB, selain mempunyai rancangan bagi mengurangkan beban hutang syarikat itu.
 
Beliau menambah tempoh enam bulan diperlukan bagi memulihkan prestasi syarikat berkenaan.
 
 

Tiada ulasan: