HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 November 2015

130 PATI ditahan dalam operasi bersepadu di Keningau

MALAYSIAKINI


 


Sebanyak 130 pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan 81 daripadanya warga Indonesia dan 49 rakyat Filipina, ditahan dalam Operasi Bersepadu yang diketuai Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah.

Setiausaha Keselamatan Negeri MKN Sabah, Radzi Md Saad berkata jumlah berkenaan adalah sebahagian dari 520 individu yang diperiksa dalam operasi bermula 3 pagi pada 30 Okt dan berakhir 5 petang tadi di Keningau.

"Kesemua 130 PATI yang ditahan reman, dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Papar, sementara menunggu keputusan siasatan lanjut selama 14 hari. Mereka berumur antara satu tahun hingga 50 tahun," katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Radzi berkata sejak Januari hingga hari ini, sebanyak 8,652 individu diperiksa dalam Operasi Bersepadu yang disertai pelbagai agensi, dan daripada jumlah itu, 3,306 orang ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Radzi juga berkata sehingga hari ini, 5,497 PATI masih berada di empat PTS di seluruh Sabah, iaitu 1,890 di PTS Kota Kinabalu, PTS Papar (1,724), PTS Sibuga (894) dan PTS Tawau (989).

Selain itu, katanya sejak Januari hingga ke hari ini, sebanyak 23,757 PATI dihantar pulang ke negara asal mereka, dan daripada jumlah itu, 18,626 orang adalah rakyat Filipina, 4,924 warga Indonesia, dan 207 orang adalah lain-lain warganegara.-Bernama


Tiada ulasan: