HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 November 2015

Debat 1MDB diterus walaupun RTM batal siaran langsung

Zikri Kamarulzaman





Pakatan Harapan akan meneruskan perdebatan dengan presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy, walaupun RTM memutuskan untuk tidak lagi menyiarkannya secara langsung.

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, terdapat cara lain menyiarkan debat itu untuk tontonan umum.

"Jika RTM tidak mahu menjadi hos, ada Astro Awani dan yang lain," katanya pada sidang akhbar di pejabat pembangkang di Parlimen hari ini.

Menurutnya, sekretariat Pakatan juga telah mengenal pasti calon yang akan menggantikan ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam debat itu.

"Nama ini akan dibawa ke mesyuarat majlis presiden malam ini dan kita akan umumkan di Parlimen pada jam 11.30 esok," kata Saifuddin.

Sebelum ini, Pua yang juga adalah anggota Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC) mencabar Arul Kanda berdebat dengannya secara langsung mengenai isu 1MDB.

Susulan cabaran itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata RTM sedia menyiarkannya secara langsung.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudiannya mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa Pua perlu berundur dari PAC terlebih dulu jika mahu berdebat.

Katanya, pembabitan Pua dalam debat itu boleh menjejaskan siasatan PAC ke atas 1MDB.

Berikutan arahan itu, Pakatan Harapan mengumumkan akan mendapatkan ahli parlimen pembangkang lain yang bukan anggota PAC bagi menggantikan Pua supaya debat yang dijadualkan Jumaat ini boleh diteruskan tanpa Pua berundur dari jawatankuasa berkenaan.

Tiada ulasan: