KUALA LUMPUR: PKR menganggap isu lima wakil rakyatnya daripada Pulau
Pinang yang tidak mengundi usul projek tebus tanah daripada pembangkang
di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu lalu sebagai sudah selesai.
Hal itu ditegaskan oleh Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli ketika ditemui media di Dewan Rakyat, petang tadi.
Bagaimanapun ia akan dibawa ke mesyuarat Pakatan Harapan sekiranya
masih ada isu berbangkit berhubung tindakan lima ADUN tersebut.
"Kita berpuas hati dengan penjelasan mereka. Kita menggalakkan dan
terima amalan undi berdasarkan suara hati di dalam sistem demokrasi.
"Serahkan pada mereka. Jika ada lagi isu berbangkit selepas ini, kita
akan rujuk ia ke peringkat Pakatan Harapan, itulah yang sepatutnya,"
kata Rafizi.
Terdahulu PKR Pulau Pinang mempertahankan tindakan lima ADUN parti itu
yang tidak mengundi usul projek tebus tanah daripada pembangkang di
sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu minggu lalu kerana ia
“pengundian berdasarkan suara hati”.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, meskipun tidak bersetuju
dengan pendirian Umno berkenaan isu tambakan laut itu, parti tersebut
berpendapat usul memohon supaya projek tebus guna tanah pada masa akan
datang melalui proses kaji selidik alam sekitar yang menyeluruh adalah
baik.
Beliau berkata, pada dasarnya PKR membenarkan pengundian mengikut suara
hati, atau “conscience vote”, di dalam isu-isu tertentu.
Jumaat lalu, lima ADUN PKR Pulau Pinang, iaitu Ong Chin Wen, Dr Norlela
Ariffin, Lee Khai Loon, Cheah Kah Peng dan Dr T Jayabalan mengambil
pendirian untuk berkecuali dalam undi usul berkenaan di Sidang DUN
negeri itu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula menyifatkan lima ADUN PKR
itu seolah-olah 'bersama Umno' apabila mengambil sikap berkecuali dan
PKR mesti menilai dengan teliti keputusan mereka yang terlibat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan