KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini mengesahkan
dipanggil polis berhubung pertemuannya dengan Jacel H. Kiram, anak
perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu yang menceroboh Lahad
Datu, Sabah pada 2013.
"Saya mendapat panggilan daripada Bukit Aman (Ibu Pejabat Polis) dan
kemungkinan esok tarikh untuk pertemuan dengan pihak polis," katanya
kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung usul untuk merujuk beliau ke
Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, Nurul Izzah yang juga Ahli
Parlimen Lembah Pantai berkata, tiada apa yang perlu disembunyikan
mengenai pertemuan yang berlaku di Manila itu.
"Saya akan hadapinya dengan hati terbuka," katanya sambil menegaskan ini kerana pertemuan itu berlaku di luar Dewan Rakyat.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina
Othman Said menerusi satu kenyataan berkata Nurul Izzah akan dirujuk
kepada jawatankuasa itu berhubung pertemuan beliau dengan Jacel pada
2013.
Jacel sebelum ini, memuat naik empat keping gambar pada 9 November
lepas dalam akaun Facebook beliau yang memaparkan pertemuannya dengan
Nurul Izzah dan mendapat reaksi kurang senang daripada pelbagai pihak.
Sementara itu, Nurul Izzah berkata beliau turut mempertimbangkan untuk
mengambil tindakan mahkamah terhadap individu dan pemimpin yang mengecam
beliau.
"Saya akan berbincang dengan peguam untuk ambil tindakan mahkamah
khusus terhadap individu dan pemimpin yang telah kaitkan saya dengan
tindak tanduk mengkhianati Malaysia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan