HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Mac 2016

Saya sentiasa konsisten – Ku Li

 
Beliau sentiasa mencari jalan munasabah dan sah dari segi undang-undang termasuk meneliti peranan yang boleh dimainkan oleh Dewan Rakyat.


Tengku-Razaleigh,-konsisten


PETALING JAYA: Tengku Razaleigh Hamzah yakin tiada sesiapa dapat menuduh beliau tidak konsisten dalam pendiriannya terhadap tatacara pemerintahan negara, tanggungjawab dan mengenai perlunya perubahan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, konsistensi adalah intipati perjuangannya di peringkat kebangsaan serta dalam UMNO sejak tahun 1987 sehingga kini.

“Saya konsisten dalam perkara ini, selama ini dan saya akan terus konsisten di hari muka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, beliau sentiasa mencari jalan munasabah dan sah dari segi undang-undang untuk maksud itu termasuklah meneliti peranan yang boleh dimainkan oleh Dewan Rakyat.

Ku Li yang baru-baru ini menandatangani Deklarasi Kelantan bagi menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak berkata, kebelakangan ini, desakan untuk perubahan semakin lantang dan seperti juga orang lain yang inginkan perubahan, beliau sentiasa meneliti beberapa perkara.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut Ku Li memberitahu, bagi mencapai maksud itu dan sebagai pengamal politik, beliau bertindak berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan kehendak parti.

“Yang demikian isu menyokong kerajaan yang memerintah dan sekaligus memberi sokongan kepada ketua kerajaan tidak timbul,” ujarnya.

Menerusi kenyataan itu lagi, beliau menekankan mengenai keadaan negara yang disifatkannya sedang mengalami krisis genting mengenai pemerintahan dan kepimpinan.

“Ini menyebabkan kita mengalami masalah ekonomi yang dahsyat terutamanya berkaitan dengan isu hutang negara. Ia mengakibatkan beberapa masalah ekonomi serius seperti kenaikan mendadak kos sara hidup yang membawa kesan buruk kepada rakyat,” katanya.

Menurut Ku Li, selama ini beliau sering berpendapat dan mengingatkan sekiranya tidak tukar cara berpolitik dan perisian dasar ekonomi, kita akan menghadapi krisis seperti yang berlaku sekarang ini.

Katanya, beliau telah mengingatkan perkara itu di Parlimen dan juga dalam beberapa ucapannya.

“Saya konsisten dan berkali-kali menyatakan bahawa kita pasti tidak dapat mengelak perubahan. Tanpa perubahan dalam tatacara pemerintahan negara dan cara kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab awam, tidak mungkin kita dapat selesaikan masalah yang dihadapi itu,” ujarnya.

Tiada ulasan: