Seorang ahli parlimen DAP hari ini memuat naik akuan bersumpah (SD) yang tidak ditandatangani di Facebook yang dipercayai diedarkan kepada wakil rakyat.
Dokumen itu menyatakan hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menyokong pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mengambil alih tampuk kepimpinan.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Liew Chin Tong bagaimanapun enggan mendedahkan butirannya.
"Ini benar-benar berlaku. Ku Li (Tengku Razaleigh) sedang dineutralkan. Saya akan lihat apa yang diperkatakan selepas ini dan saya akan dedahkan lagi," katanya.
Malah status laman Facebook miliknya tertulis kata-kata, "Untuk perhatian Tajuddin".
Sebelum ini, Tajuddin menolak dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Tengku Razaleigh adalah individu yang mencadangkan supaya Najib disingkirkan melalui undi tidak percaya di Parlimen.
“Saya tidak melihat apa-apa berita (dakwaan Tun Mahathir seperti apa) yang disebarkan. Tidak ada sama sekali.
“Rakan-rakan saya dan rakan sekerja dari ahli parlimen lain dari Umno dan BN tidak bercakap tentang perkara ini.
“Saya akan tahu kalau ia memang ada (tapi) tak ada langsung. Semua berita ini dicipta oleh Mahathir,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.
Minggu lalu, Tengku Razaleigh menandatangani Deklarasi Kelantan bagi menyatakan sokongan terbukanya kepada perdana menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan