KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Pembebasan Ketua Umum KEADILAN, saudara Anwar Ibrahim termasuk antara tunjang utama tuntutan rakyat dalam Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia, yang bakal berlangsung Isnin ini, 28 Mac.
Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, ruang reformasi yang dibawa Pakatan Harapan lebih besar dari Deklarasi Rakyat kerana ia memfokuskan kepada pengunduran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.
“Ia juga sebagai bukti mereka mengakui Anwar Ibrahim dipenjarakan sebagai musuh politik,” kata Rafizi kepada Keadilan Daily.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, jika mereka bersetuju dengan reformasi institusi, mereka bersetuju dengan pembebasan Anwar kerana institusi yang bebas akan memberikan keadilan kepada mereka yang teraniaya seperti bekas Ketua Pembangkang itu.
Rafizi berkata, Anwar berkorban untuk rakyat sehingga di penjara kali ketiga pada usia 68 tahun.
Untuk itu, rakyat dijemput ke himpunan ini sebagai simbolik membantah pemenjaraan Anwar sebagai tahanan politik sekaligus menuntut pembebasannya.
“Beliau tidak pun berdendam dengan Tun Mahathir atau Najib.
“Kalau pun kita tidak mampu berjuang hingga ke penjara, paling kurang kita turun tunjukkan solidariti untuk Selamatkan Malaysia Isnin ini, 28 Mac di Pandan Indah,” kata Rafizi.
Selain #BebasAnwar, Majlis Presiden Pakatan Harapan menegaskan, dua lagi tunjang utama tuntutan rakyat adalah Reformasi Institusi dan pengunduran Najib.
Sementara itu, Anwar mengakui beliau tidak menyimpan ‘dendam peribadi’ terhadap Mahathir mahupun Najib.
“Saya sudah maafkan semua orang lama dahulu.
“Pertarungan saya bukan bersifat peribadi; ia adalah mengenai pembaharuan institusi. Saya tidak mempunyai dendam peribadi dengan Mahathir mahupun Najib,” kata Anwar kepada Channel News Asia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ketika beliau muncul sebagai peguam sendiri dalam kes saman fitnah Datuk S Nallakaruppan, Selasa lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan