HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Mac 2016

Kerajaan belanja RM280.5 juta dalam operasi pencarian MH370

 
Operasi pencarian pesawat itu dilaksanakan di kawasan seluas 86,752 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.


mh370


KUALA LUMPUR: Setakat Februari ini, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM280.5 juta dalam operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang, menurut Kementerian Pengangkutan.

Kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memberitahu bagi tempoh itu juga, operasi pencarian pesawat itu dilaksanakan di kawasan seluas 86,752 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Ia menjawab soalan Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) mengenai status terkini pencarian MH370 serta jumlah yang dibelanjakan sehingga kini bagi operasi pencarian pesawat malang itu.

Pesawat MAS itu dilaporkan hilang semasa dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014 dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Pesawat itu kemudiannya diumumkan berakhir di selatan Lautan Hindi dengan usaha pencarian di kawasan seluas 120,000 kolimeter persegi dijangka selesai Jun ini.

Menjawab soalan Liang mengenai siasatan nahas pesawat MH17 serta usahaterkini kerajaan dalam mengambil tindakan terhadap dalang yang menembak jatuh pesawat itu, kementerian itu menjelaskan siasatan jenayah masih dijalankan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang diterajui Belanda dan dianggotai Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine.

“Siasatan dijangka berterusan sehingga pertengahan 2016. Usaha untuk mengenal pasti pihak bertanggungjawab dalam nahas pesawat MH17 adalah bergantung kepada hasil siasatan tersebut,” menurutnya.

Menurut kementerian, Malaysia bersama-sama negara yang diwakili dalam JIT sedang meneruskan perbincangan bagi dua opsyen pendakwaan iaitu pendakwaan di peringkat nasional oleh satu daripada negara anggota JIT dan pendakwaan oleh suatu tribunal antarabangsa yang diwujudkan khas oleh negara anggota JIT.

“Bagi maksud keputusan antara kedua-dua opsyen itu, hasil siasatan jenayah perlu diperoleh terlebih dahulu kerana ia akan menjelaskan tempat pemastautin orang yang disyaki, kewarganegaraan dan tempat terbaik untuk mereka dibicarakan.

“Sebarang opsyen pendakwaan dan perbicaraan akan diputuskan kelak serta keupayaan memulakan pendakwaan terhadap mana-mana tertuduh adalah tertakluk kepada adanya keterangan mencukupi yang boleh diterima mahkamah,” katanya.

Pesawat MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 menyebabkan kesemua 298 orang penumpang dan anak kapal terkorban.– Bernama

Tiada ulasan: