Beliau sedia bekerjasama dengan Dr Mahathir jika reformasi sistem dan pembebasan Anwar dirangkum dalam perjuangan rakyat.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tetap bertegas bahawa perjuangan rakyat menerusi Deklarasi Rakyat bukan untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak semata-mata.
Sebaliknya, kata Ketua Pembangkang itu, pembebasan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan reformasi pentadbiran perlu dirangkumkan dalam perjuangan rakyat yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kita semua mahu ada satu matlamat seperti reformasi dan bebaskan Anwar. Perkara ini kena masuk satu rangkuman dan kita sedia bekerjasama,” katanya selepas menyambut ketibaan 16 peserta berjalan kaki menentang pencemaran bauksit, hari ini.
Wan Azizah berkata, berjumpa dengan Dr Mahathir bukan menjadi keutamaan kepadanya kerana paling utama ialah perjuangan itu bukanlah untuk menjatuhkan Najib sahaja.
“Bukan soal itu (berjumpa), soalnya ialah kita perlu ada agenda untuk betulkan kepincangan yang berlaku dalam negara.
“Jumpa atau tidak jumpa, itu adalah tidak berkenaan,” katanya.
Semalam,Dr Mahathir berkata beliau secara terbuka bersedia untuk bertemu dengan Wan Azizah bagi membincangkan tentang cara untuk menyingkirkan Najib.
Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata walaupun beliau tidak berjumpa Dr Mahathir secara rasmi, namun beberapa pimpinan pembangkang seperti Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden, Rafizi Ramli sudah pun berjumpa dengan mantan Perdana Menteri.
“Memang sekarang daripada parti,Ttimbalan sudah jumpa dan apa isu kita adalah untuk reformasi institusi bebas Anwar bukan saja menukar atau mengubah seorang saja,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan