HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Mac 2016

Sokongan Ku Li beri kekuatan tambahan kepada Najib

FREE MALAYSIA TODAY


Dengan menandatangani 'Deklarasi Kelantan' itu ia jelas menunjukkan Tengku Razaleigh sudah berpihak kepada kepimpinan Najib


Datuk-Seri-Tajuddin-Abdul-Rahman


KUANTAN: Langkah veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menandatangani ‘Deklarasi Kelantan’ Khamis lepas memberikan kekuatan tambahan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus mentadbir kerajaan dan parti.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana sokongan tersebut datang daripada seorang tokoh yang dianggap hebat dalam arena politik di negara ini.

“Ini bukan sembarangan sokongan…ini sokongan daripada tokoh yang telah lama dalam politik yang ada rekod prestasi baik dalam UMNO,” katanya.

Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, tindakan itu mungkin ‘mengejutkan’ sesetengah pihak.

Ini kerana katanya, veteran UMNO itu sebelum ini dilihat lebih cenderung memihak kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Namun, dengan menandatangani ‘Deklarasi Kelantan’ itu ia jelas menunjukkan Tengku Razaleigh sudah berpihak kepada kepimpinan Najib,” katanya.

Tengku Razaleigh yang juga anggota Parlimen Gua Musang menandatangani deklarasi itu di hadapan Perdana Menteri sendiri pada pertemuan dengan UMNO Kelantan pada 24 Mac lepas, di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

‘Deklarasi Kelantan’ itu turut ditandatangani 13 Ketua UMNO Bahagian Kelantan yang kemudian diserahkan kepada Najib oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.-Bernama

Tiada ulasan: