HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Mac 2016

Deklarasi sokong Najib: Cawangan Teratai tidak wujud, kata Umno Pandan

 Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Pandan, Datuk Mohd Haniff Koslan menafikan kewujudan Umno Cawangan Teratai sambil menambah individu yang mengaku sebagai 'ketua cawangan' berkenaan langsung tidak dikenali oleh kepimpinan bahagiannya. 
 
"Sehingga hari ini, saya tidak ketahui dan AJK bahagian (Pandan) pun tidak ada maklumat. Ditakuti entah daripada mana datang, buat kenyataan seperti itu. 
 
"Di dalam Umno Bahagian Pandan tidak ada cawangan Teratai, (tapi) DUN Teratai ada. Cawangan Umno di DUN Teratai semuanya kami kenal. Tapi cawangan Teratai tidak ada," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau berkata demikian merujuk kepada pendedahan seorang individu yang didakwa sebagai Ketua Umno Cawangan Teratai, Hashim Abdul Karim seperti yang dilaporkan sebuah portal hari ini. 
 
Dalam laporan portal berkenaan, individu itu mendedahkan kepimpinan akar umbi Umno di Selangor dipaksa menandatangani deklarasi menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
 
Individu itu juga mendakwa cawangannya baru saja menerima surat satu deklarasi yang disediakan oleh Umno Selangor.
 
Perkara itu didedahkannya ketika berucap dalam program santai dan penerangan isu-isu semasa bersama Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Hj Apdal, di Kampung Bukit Lanchong, Laman Bistari, Shah Alam semalam.
 
Sangkal Mohd Haniff lagi, pihaknya langsung tidak mendapat maklumat mengenai deklarasi terbabit.
 
"Kami di bahagian Pandan, tidak ada dengar apa pun," ulas Mohd Haniff lagi.
 
"Saya sebagai Ketua Bahagian, tidak pernah pula dengar kita (Umno) desak cawangan untuk tandatangan sokong (Datuk Seri) Najib. 
 
"Tidak pernah saya dengar dalam mesyuarat perhubungan negeri. Pengerusi (Datuk Seri Noh Omar) tidak pernah mendesak sesiapa dalam cawangan untuk membuat sokongan, dia datang daripada cawangan sendiri. Kawasan Pandan tidak pernah mendapat mandat supaya membuat deklarasi menyokong Najib," jelas beliau.
 
Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo berkata ahli parti di negeri itu langsung tidak dipaksa untuk menandatangai deklarasi berkenaan.
 
Tegasnya, ia berlandaskan kepada kerelaan setiap ahli untuk berbuat demikian atau sebaliknya.
 
"Sebenarnya menandatangani (Deklarasi Sokong Perdana Menteri) tidak pernah dipaksa. Cuma kita orang Umno di Selangor yang setia kepada parti membuat resolusi bersama. Bersetuju  atau tidak terpulang kepada dia. 
 
"Kalau tidak bersetuju dia (ahli Umno) sendiri sudah tidak setuju dengan parti. Maknanya tidak bersetuju dengan Presiden dan dia sendiri rasa ragu-ragu,"katanya.
 
 

Tiada ulasan: