Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata perasuah dan pembela mereka merupakan golongan tidak patriotik dan bukan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.
Lim berkata demikian dalam membidas timbalan menteri Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang menyatakan rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara sebagai "tidak patriotik".
"Jika itu berlaku mengapa tak hapuskan Talent Corp, yang telah ditubuhkan untuk menarik kembali rakyat Malaysia yang berbakat?
"Ia adalah rasuah dan mereka yang mempertahankan rasuah yang tidak patriotik, bukan mereka yang tinggal di luar negara," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan.
Lim berkata ini kerana pelbagai skandal kewangan dan rasuah telah menyebabkan kerugian kepada negara.
Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan Malaysia menjadi anggota dan menandatangani TPPA untuk mendapatkan akses pasaran yang lebih baik dan pendedahan kepada rakyat Malaysia dalam perdagangan global adalah satu langkah daripadanya, termasuk bekerja dan tinggal di luar negara.
"Jika itu tidak patriotik, maka mengapa mesti Malaysia menandatangani TPPA ?," soalnya.
Justeru Lim menggesa Tajuddin menarik balik kenyataannya itu yang dilaporkan dibuat di Dewan Rakyat minggu lepas.
Lim berkata Tajuddin perlu memohon maaf kerana "kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau" jika kerajaan Barisan Nasional serius menggalakkan rakyat Malaysia yang berbakat untuk pulang dan menyumbang kepada pembangunan negara.
"Minda BN yang menyalahkan rakyat yang meninggalkan negara ini kerana peluang pekerjaan dan gaji yang lebih baik di luar negara hanya akan menggalakkan rakyat Malaysia lebih berbakat meninggalkan (Malaysia).
"Kesusahan Ekonomi bukan satu-satunya sebab," katanya dalam mendesak kerajaan BN menangani isu-isu lain yang lebih mendesak seperti kemerosotan dalam kedaulatan undang-undang dan penindasan kebebasan hak asasi.
Tajuddin sebelum ini menggesa mereka yang tinggal di luar negara untuk kembali semula apabila ditanya mengenai pelbagai laporan berita yang didakwanya bertujuan untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Lim, bagaimanapun, memetik kajian baru-baru ini oleh perunding hartanah bebas global Knight Frank bahawa 26 peratus daripada Individu Bernilai Bersih Tinggi (HNWI) sedang mempertimbangkan berhijrah pada dekad akan datang, berbanding purata serantau sebanyak 16 peratus .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan