LIMBANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat agar
tidak terikut-ikut dengan tindakan sesetengah pihak yang mahu kerajaan
ditukar melalui demonstrasi jalanan dan kempen tanda tangan.
"Itu tidak ada dalam perlembagaan," katanya.
Najib turut menafikan dakwaan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN)
"mabuk kuasa" kerana rakyat diberi peluang untuk mengundi memilih
pemimpin dalam lima tahun sekali mengikut perlembagaan.
Memberi contoh demonstrasi jalanan di Timur Tengah yang dikenali Arab
Spring, beliau berkata, ia kini tidak seperti diharapkan oleh rakyat di
negara berkenaan.
"Revolusi Arab Spring tidak mencapai matlamat kerana perubahan
dilakukan secara mengejut, tidak ikut perlembagaan dan tidak mengikut
kedaulatan unang-undang", katanya semasa merasmikan program Sejiwa
Senada (SJSN) Limbang di Komplek Sukan Limbang di sini hari ini yang
dihadiri lebih 15,000 penduduk.
Perdana Menteri turut meminta rakyat agar jangan terpengaruh dengan
budaya fitnah dan melaga-lagakan orang seperti yang dilakukan
pembangkang melalui media sosial.
"Saya meminta rakyat berfikir sejenak untuk memikir dengan lebih
mendalam parti mana yang boleh menjamin hari ini lebih baik dari semalam
dan hari esok lebih baik daripada hari ini," katanya.
Beliau mahu rakyat Sarawak memilih parti BN pada pilihan raya negeri
ke-11 nanti supaya kerajaan pusat dapat meneruskan projek-projek yang
dirancang seperti projek lebuh raya Pan Borneo, pembangunan Tanah Adat
Bumiputera dan pelbagai lagi projek infrastruktur.
Berdasarkan prestasi BN di Sarawak, Najib yakin rakyat Sarawak akan
memberi mandat lebih besar kepada kerajaan BN Sarawak pimpinan Ketua
Menteri Tan Sri Adenan Satem.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan