SUARA KEADILAN
KUALA LUMPUR : Naib Presiden KEADILAN, Datuk Mansor Othman dihalang memasuki Sarawak apabila ditahan di Pejabat Imigresen sebaik tiba di Lapangan Terbang Kuching, pada jam 9.10 pagi tadi.
Menerusi aplikasi WhatsApp, Mansor memaklumkan beliau dihalang masuk atas arahan atasan dan kini sedang menanti penerbangan untuk dihantar pulang.
“Mereka sedang cari penerbangan untuk hantar saya pulang,” katanya ringkas.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menjadi pemimpin Pakatan Harapan terbaru dihalang memasuki Bumi Kenyalang itu selepas beberapa pemimpin Pakatan lain sebelum ini.
Antara pemimpin Pakatan itu adalah Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Exco Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim; Ahli Parlimen Bayan Baru yang juga Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
Terdahulu, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan larangan terhadap pemimpin Pakatan memasuki Sarawak sebagai amat mendukacitakan.
Katanya, demokrasi sihat menuntut pertandingan politik adil dan sama rata dengan mewajibkan parti politik pihak pemerintah juga pembangkang diberi peluang sama bertemu pengundi serta menjalankan aktiviti politik sah mengikut undang-undang.
Justeru, Wan Azizah menggesa pentadbiran Sarawak di bawah Tan Sri Adenan Satem menghentikan amalan menghalang ahli politik khususnya Pakatan melakukan kerja politik.
“Saya berharap Adenan bersikap adil dan terbuka serta membenarkan kami masuk untuk melakukan kerja politik yang dibenarkan undang-undang dan Perlembagaan. Marilah kita sama-sama melakukan yang terbaik buat masa depan rakyat Sarawak,” katanya. – SelangorKini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan