AMPANG: Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali memberitahu DAP dan
PKR belum memutuskan berhubung pertindihan empat atau lima kerusi
dipilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-11 pada 7 Mei depan.
"Kami masih dalam proses rundingan dengan DAP dan diharapkan kami akan dapat menyelesaikan sebelum hari pencalonan.
"Saya benar-benar berharap kita boleh memuktamadkan rundingan secepat
mungkin," kata Azmin kepada pemberita selepas majlis anugerah
perkhidmatan cemerlang tahun 2015 Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ)
di Ampang malam tadi.
Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian sebelum ini dilaporkan menolak
konsensus agihan kerusi yang dibuat pada peringkat kebangsaan dikalangan
parti sekutu Pakatan Harapan.
Baru Bian PKR untuk bertanding di 40 kerusi pada pilihan raya negeri
tersebut dan telah memaklumkan keputusan berkenaan kepada ibu pejabat
kebangsaan PKR.
Dengan keputusan ini, menurutnya, kedua-dua PKR dan sekutunya, DAP
berdepan dengan tuntutan bertindih di empat atau lima kerusi.
Mengulas lanjut adakah ia akan diumumkan dalam lawatan menteri besar
Selangor itu ke Sarawak hari ini, Azmin berkata bergantung kepada
rundingan yang akan dilakukan.
"Tidak semestinya. Ia bergantung kepada sama ada kita boleh
menyelesaikan esok (hari ini)," kata anggota Parlimen Gombak itu yang
dipetik laporan Malaysiakini.
Ketika diminta mengulas berapakah jumlah kerusi yang sepatutnya
ditandingi, Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, enggan
mendedahkannya.
"Saya tidak dapat mendedahkan jumlah itu sekarang, kerana rundingan masih berjalan," tegas Azmin.
DAP Sarawak semalam telah menyenaraikan calon bagi 29 daripada 82
kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya Sarawak 7 Mei depan.
Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata, beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa.
Ini termasuk lapan bekas Ahli DUN yang juga akan mempertahankan kerusi
mereka iaitu Wong King Wei (Padungan), Violet Yong (Pending), Chiew Wang
See (Batu Kawa), Ting Tze Fui (Meradong), Yap Hoi Liong (Dudong), David
Wong (Pelawan), Chiew Chiu Sing (Tanjung Batu) dan Alan Ling (Piasau).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan