HALAMAN SANTAI

Jumaat, 22 April 2016

KL, Manila tingkat kerjasama kekang kes penculikan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Filipina perlu meningkatkan kerjasama menerusi perkongsian maklumat perisikan dan rondaan dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan, termasuk kes penculikan.
 
Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, memberi penegasan terhadap keperluan bagi Kuala Lumpur dan Manila bekerjasama rapat dalam usaha membebaskan empat rakyat Malaysia yang diculik pada 1 April lalu.
 
"Kerajaan Malaysia memandang serius isu penculikan termasuk kes terbaru membabitkan empat warga tempatan," katanya.
 
Anifah yang mengadakan lawatan kerja ke Filipina selama tiga hari berakhir hari ini, turut menemui rakan sejawatan, Setiausaha Hubungan Luar Negeri Filipina, Jose Rene D Almendras, semalam.
 
Dalam pertemuan itu, mereka sepakat menekankan kepentingan mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua negara.
 
Kenyataan itu menyebut, Almendras memberi jaminan kerajaan Filipina giat mengambil langkah sewajarnya untuk membebaskan mangsa culik berkenaan.
 
"Kedua-dua turut bertukar pandangan mengenai isu serantau termasuk isu Laut China Selatan," katanya.
 
Empat rakyat Malaysia iaitu Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29; dan Johnny Lau Jung Hien, 21; diculik lelaki bersenjata berhampiran Pulau Ligitan, Semporna, Sabah.
 
Gambar mereka dimuat naik ke laman Facebook dipercayai milik ahli kumpulan penjenayah itu, 10 April lalu.
 
Menggunakan nama 'Victor Troy Poz' dan dipercayai akaun sementara, gambar itu memaparkan keempat-empat mangsa culik yang juga kru kapal, dalam keadaan mencangkung sambil memegang sekeping kertas bertulis 'Victor Troy'.
 
 

Tiada ulasan: