HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Oktober 2016

Bahan benzoil peroksida dalam tepung gandum selamat


Oleh Bernama
 
 


Penggunaan bahan benzoil peroksida dalam tepung gandum tidak memudaratkan kesihatan pengguna, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya badan penilai antarabangsa, Suruhanjaya Codex Alimentarius (CAC), mengesahkan bahawa bahan itu selamat digunakan. CAC ditubuhkan di bawah jawatankuasa bersama terdiri daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Jawatankuasa Pakar Mengenai Aditif Makanan (JECFA).

Menurutnya, CAC membenarkan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum tidak melebihi 75 miligram (mg)/kilogram (kg) dengan mengambil kira pengambilan makanan berasaskan tepung gandum secara kerap.

“Di samping itu, penambahan benzoil peroksida dalam tepung gandum juga dibenarkan di Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat manakala Australia New Zealand Food Standards Code membenarkan ia digunakan dalam semua makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai kesan buruk bahan tersebut kepada kesihatan pengguna sehingga menyebabkan barah.

Benzoil peroksida merupakan sejenis bahan pengawet yang dibenarkan dalam pelbagai makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 (PPM 1985) dan dalam tepung gandum jumlahnya tidak melebihi 50mg/kg.

Dr Noor Hisham berkata JECFA telah menjalankan kajian dan mengesahkan bahawa benzoil peroksida selamat untuk digunakan dalam makanan mengikut jumlah tertentu.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kesihatan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi kesihatan pengguna sekiranya terdapat bukti saintifik terkini daripada CAC dan JECFA yang membuktikan mana-mana bahan dalam makanan adalah berbahaya kepada kesihatan.

Bagaimanapun, bukti-bukti saintifik terkini tidak menyokong dakwaan bahawa benzoil peroksida adalah berbahaya kepada kesihatan, katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan, Nooraini Mohd Othman menegaskan benzoil peroksida bukanlah karsinogenik yang boleh menyebabkan barah. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: