MELAKA: Kerajaan negeri mungkin mencatu bekalan air secara berperingkat
dalam tempoh dua minggu akan datang jika paras air di tiga empangan di
negeri itu terus menunjukkan penyusutan kritikal.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata langkah terakhir
Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB) dalam tempoh kira-kira 10 tahun itu
adalah susulan paras air di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah,
Empangan Jus dan Empangan Asahan, Jasin menghampiri paras 50 peratus.
Walaupun hujan dilaporkan di beberapa lokasi di negeri ini, katanya, ia
tidak berlaku di kawasan tadahan hingga menjejaskan paras empangan.
"Saya perlu memaklumkan lebih awal bahawa kita mungkin terpaksa mencatu
bekalan air secara berperingkat jika keadaan tidak berubah.
"Beberapa langkah susulan termasuk proses pembenihan awan akan dibuat dalam tempoh dua atau tiga hari ini.
"Selepas tempoh itu, kita akan lihat sama ada perlu atau tidak catuan
air. "Jika dilakukan, catuan bekalan air akan dilakukan kira-kira lapan
jam bagi setiap kawasan terbabit yang dibuat secara berperingkat,"
katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2016 peringkat negeri di sini, hari ini.
Kira-kira 1,000 peserta memeriahkan sambutan bertemakan 'Alam Sekitar,
Tanggungjawab Bersama' itu, selain mengikuti program berbasikal,
senamrobik dan bacaan ikrar alam sekitar.
Yang turut hadir, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar
negeri, Datuk Ismail Othman dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri,
Shafe'ee Yasin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan