Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Menyeluruh. Bajet 2017 menyapa hampir semua sudut ekonomi dan
menyisir kegusaran rakyat. Penyusunannya kemas dan berpada-pada.
Pendekatannya santun dan selesa. Yang tinggal kini ialah soal
pelaksanaan.
Walaupun banyak diperbesar sisi keadaan ekonomi rakyat semakin
menghimpit, Bajet 2017 bertunjangkan prinsip pragmatik dibentangkan
dengan suluhan program pelaksanaan yang jelas dan sistematik.
Persoalan cukai, mutu kehidupan penjawat awam, masalah perumahan
rakyat, taraf hidup rakyat termiskin, bantuan BR1M, isu persekolahan dan
pendidikan, kemajuan internet, pemerkasaan Bumiputera disentuh oleh
Bajet 2017.
Isu utama seperti pertahanan, keselamatan awam dan pengangkutan awam
masih mendapat perhatian utama. Jika mutu kesejahteraan rakyat tekal,
pasti lebih mudah mewujudkan perpaduan dikalangan rakyat.
Malangnya, bukan butir bajet yang menjadi perhatian pembangkang. Mereka
cuba melangkaui proses penting dalam pengurusan ekonomi negara ini
dengan mengaitkan isu lain.
Ini termasuklah persoalan kleptokrasi, siasatan Jabatan Keadilan
Amerika Syarikat berhubung urustadbir kewangan beberapa usahawan
tertentu yang dikatakan mencemari sistem ekonomi di negara Uncle Sam itu
dan akhirnya menuntut ingin tahu “Siapa MO1” dalam isu itu.
Yang menjadi persoalan kini ialah Bajet negara untuk pengurusan tahun
hadapan. Ia seharusnya diteliti dan diperbahaskan untuk kepentingan
pengurusan ekonomi negara bagi tahun berkenaan.
Namun bagaimana usaha ini dapat dilakukan dengan berkesan jika masalah
urustadbir negara asing dikelompokkan dengan usaha mensejahterakan
kehidupan rakyat Malaysia.
Pembangkang politikkan bajet
Ternyata selera pembangkang hanya politik. Jika boleh berpaut pada
bajet negara untuk mencari modal politik, itu yang akan digunakannya.
Hakikat mereka sudah bersedia dengan poster “Siapa MO1” adalah bukti
nyata.
Mencampuradukkan dua isu yang berbeda itu hanya merugikan rakyat yang
seharusnya dibimbing oleh pemimpin tidak kira dari pihak kerajaan
mahupun pembangkang supaya memahami isu dan cara pelaksanaan Bajet
negara.
Namun bagi pembangkang isu siasatan DOJ lebih menggiurkan di segi
politik. Maka kebijakan dan hemah kerajaan menyusun perbelanjaan negara
dan sekaligus mendindingi rakyat daripada kesuraman ekonomi global
dinafikan.
“Kita tak sedia dengar apa-apa penjelasan lagi kerana saya percaya apa
yang disampaikan itu tidak memberikan gambaran tentang kedudukan
realistik,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Sebagai orang yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, pendirian
ini rapuh dan memalukan. Bukankah setiap kali ada pembentangan bajet,
laporan ekonomi tahunan akan mengiringinya? Sudahkah beliau membuat
penelitian?
Mujur beliau sudah tidak memimpin Malaysia lagi. Rupa-rupanya selama
tujuh tahun menjadi orang nombor dua di Malaysia, Muhyiddin tidak tahu
cara mendapatkan gambaran ekonomi Malaysia sebenarnya.
Presiden PKR dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail
lebih kalut pemikirannya. Beliau mendapati isi bajet yang dibentangkan
oleh perdana menteri tidak telus.
“Siapa yang sandiwara? Bukan kami! (Sebaliknya) kami mahu beliau jawab
siapa Malaysia Official 1 (MO1). Belanjawan ini mesti realistik, nampak
baik beri bermacam-macam tetapi hutangnya?
“Kami mahu sandiwara dikatakan itu dijawab kerajaan. Siapa MO1? Itu mesti dijawab,” katanya di lobi Parlimen.
Pendirian ini memang tidak berhemah. Pertama, ketika meninggalkan
Dewan, pembentangan bajet belum tamat. Jika faham prosedur Dewan, Bajet
ini masih di peringkat cadangan. Ia perlu dibahaskan.
Guna isu DOJ serang bajet Najib
Tidakkah bijaksana jika persoalan dari mana sumber membiayai bajet
berkenaan ditimbulkan dalam sesi perbahasan? Menghimpunkan prejudis
terhadap Bajet Cadangan dengan isu DOJ Amerika Syarikat adalah tidak
bijak.
Pemikiran kurang cerdik ini juga dikongsi oleh wakil Parti Amanah Negara, Abdul Khalid Samad yang berkata:
“Kita keluar dewan kerana nak zahirkan penentangan dan penolakan
terhadap isu kandungan ucapannya (Perdana Menteri). Kita nak tunjuk
sebagai rakyat dan wakil kepada rakyat, kita tak boleh diperbodohkan
sebegitu rupa”.
Persoalannya tidakkah memperbodohkan diri sendiri namanya jika
kesimpulan dibuat sebelum butir bajet cadangan itu selesai dibentangkan?
Tidakkah itu prejudis?
Yang menariknya ialah, faktor yang menjadi pemicu hingar bingar dalam
Dewan itu ialah apabila Datuk Seri Najib Tun Razak membidas pemimpin
pembangkang menuduh negara sedang mengalami ribut ekonomi.
Kenyataan itu mencetuskan kemarahan ahli Parlimen pembangkang yang
bangun bersama plakad #SiapaMO1? sekaligus menukarkan suasana tenang
dewan kepada hingar-bingar tidak terkawal.
"Ada pihak yang buat tuduhan #Bajet2017 adalah satu sandiwara kononnya tanpa bukti dan kerajaan tidak mempunyai wang mencukupi.
"Malah ada pemimpin pembangkang menyebut pula Malaysia sedang mengharungi ribut ekonomi yang sukar pada tahun ini," kata Najib.
Najib mendakwa pembangkang kerap melemparkan tuduhan kepada kerajaan
Persekutuan kononnya Malaysia sedang bergelut dengan ekonomi yang
menekan.
"Pembangkang juga mendakwa kerajaan Persekutuan bermain sandiwara dalam isu melibatkan ekonomi negara," katanya lagi.
Najib kemudiannya bertanya kepada ahli Parlimen pembangkang: "Siapa sebenarnya yang bersandiwara?"
Hingar bingar berlaku dan menyaksikan campur tangan Yang Dipertua Dewan
Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mengarahkan ahli Parlimen
meninggalkan dewan jika tidak mahu mendengar isi pembentangan Bajet
2017.
Tindakan ini memang dirancang. Dalil plakad “Siapa MO1” dibawa masuk
dalam Dewan membuktikan pembangkang memang mahu mencetuskan huru-hara
dalam dewan.
Bajet alternatif yang dibentangkan sehari sebelum Bajet 2017 dibawa ke
Dewan tidak dapat perhatian. Maka pembangkang tidak mahu rakyat meneliti
isi Bajet kerajaan. Sekadar menutup ketidakupayaan sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan