Oleh Haizal Yatiran
SHAH ALAM: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
mencadangkan kerajaan menghadkan pembelian minyak masak sebanyak 2kg
kepada setiap pembeli.
Timbalan presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, cadangan
tersebut bagi mengurangkan ketirisan yang berlaku dalam pengagihan
subsidi terhadap minyak masak tempatan.
Ujarnya lagi, subsidi minyak masak yang diberikan kerajaan dapat
diteruskan sekiranya ketirisan yang berlaku dalam isu minyak masak dapat
dibendung.
"Sebenarnya subsidi minyak masak yang diberikan oleh kerajaan adalah
untuk pengguna domestik. Bukannya untuk dibeli oleh peniaga termasuk
penjual pisang goreng sekalipun.
"Itulah, banyak berlaku ketirisan termasuk dijual ke Thailand. Ketirisan ini yang membelenggu.
"Saya setuju untuk isu sekarang berkenaan minyak masak sebenarnya
kerajaan mahu menghadkan. Bagi saya, salah satu caranya wujudkan sistem
kuota. Kalau nak beli, mungkin hadkan kepada dua kilogram.
"Kemudian, bagi peniaga-peniaga kalau mereka hendak membeli, mereka
boleh dapatkan dari pemborong. Untuk pengguna biasa, dia boleh beli di
kedai runcit tetapi dengan had yang tertentu," katanya kepada Antarapos.
Minggu lalu, berita mengenai kenaikan harga minyak masak ekoran
penarikan balik subsidi bagi barang keperluan tersebut menjadi tumpuan
utama rakyat.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani kemudiannya mengumumkan bahawa subsidi tersebut akan diteruskan.
Menteri itu seterusnya berkata langkah bagi mengatasi ketirisan subsidi
minyak masak perlu diberi perhatian oleh Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Mengulas bersabit hal itu, Fomca turut menyatakan pandangan yang sama
bagi membendung ketirisan yang lebih besar seperti isu-isu yang
melibatkan penyeludupan.
"Untuk isu-isu seperti penyeludupan, itu memerlukan tindakan yang lebih tegas daripada pihak penguatkuasaanlah," kata Yusof.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan