Oleh Nur Atiqah Samad
SHAH ALAM: Gesaan pembangkang yang mahu kerajaan menurunkan kadar Cukai
Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada sifar peratus adalah tidak
realisitik.
Menurut penganalisis ekonomi Prof Dr Shazali Abu Mansor, GST kini sudah menjadi salah satu sumber pendapatan utama negara.
Malah menurut Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia
Sarawak (Unimas) ini lagi, negara kini sudah tidak boleh bergantung
kepada pendapatan berasaskan komoditi kerana harga pasaran yang tidak
stabil.
"GST memang dah jadi sebahagian sumbangan pendapatan negara jadi memang
kita tak bolehlah kecualikan GST tu kerana semua negara di dunia ini
memang laksana GST.
"Kerana GST jadi persediaan jika apa-apa berlaku (dan) kita tak boleh bergantung kepada satu-satu komoditi atau pendapatan.
"GST ini satu pendapatan yang lebih stabil dan lebih efisien, selagi
rakyat mengguna (khidmat GST) selagi tu mereka bayar cukai," katanya
kepada Antarapos.
Pembangkang sebelum ini mencadangkan kepada kerajaan supaya kadar GST
ditukar kepada 0%, tetapi gagal memberikan pelan alternatif bagi menjana
pendapatan negara.
Cadangan itu dibentang dalam Bajet Alternatif Pakatan Harapan (PH).
Tegas beliau GST adalah satu cukai yang sangat berguna dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
Namun ujarnya, sekiranya hasil dapatan GST itu sudah melepasi angka
yang memadai untuk dipulangkan kepada rakyat, kerajaan harus memberikan
manfaat itu mungkin daripada segi pengurangan cukai yang lain.
"Kena diimbangi cukai-cukai yang boleh dikurangkan, biarlah GST ni jadi
satu sumber cukai yang cukup. Kerana sekarang mungkin masih belum
cukup, mungkin apabila capai kadar yang cukup (jadi) tak perlu lagi ada
cukai-cukai lain.
"Cukai-cukai lain nanti hendaklah dikurangkan bila kutipan GST dah
capai tahap yang mencukupi, sekarang mungkin masih tak cukup. Bila
ekonomi berkembang, mungkin pungutan GST capai RM60 bilion. Mungkin di
situ benda-benda yang lain boleh dikurangkan, cukai-cukai lain yang
membebankan rakyat," katanya lagi.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan GST dinaikkan seperti yang didakwa pembangkang.
Setakat 19 Oktober 2016 kutipan GST berjumlah hampir RM30 bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan