SHAH ALAM: Walaupun Pakatan Harapan (PH) mencadangkan penambahbaikan
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 'berkadar sifar', ia bermakna
gabungan itu tetap mengaku akan keperluan sistem percukaian berkenaan,
kata Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani.
"Mereka cakap sifar GST. Bermakna pertama, mereka mengaku perlu GST
tetapi sifar. Bererti kalau mereka menang, mereka akan naikkan GST.
"Kedua, kalau sifar GST, mereka sudah kehilangan RM38 bilion. Kalau GST
sifar, mereka hendak dapat duit dari mana," katanya dipetik Utusan
Malaysia.
PH pada Rabu lalu membentangkan Belanjawan Alternatif, yang
mengenengahkan antaranya pengurangan kebergantungan terhadap GST,
potongan peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM), menangani rasuah dan
perkhidmatan serta peluang yang sama untuk semua rakyat Malaysia.
Dalam reaksinya sebelum ini, Johari menyifatkan bajet pembangkang tidak realistik dan bersifat populis.
Ujarnya, cadangan pembangkang termasuk penambahbaikan GST 'berkadar
sifar' akan menyebabkan negara kehilangan sumber pendapatan dan berdepan
dengan krisis ekonomi.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, pelaksanaan GST
membolehkan kerajaan mengutip hasil berjumlah RM 38bilion walaupun
dengan pengecualian terhadap pelbagai barangan.
"Sekarang GST kita enam peratus, dengan pelbagai pengecualian kepda lebih 9,000 barangan, kita dapat RM38 bilion.
"Kalau mereka sifarkan yang enam peratus itu, mereka hendak dapatkan RM38 bilion dari mana?," tempelak beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan