Oleh Nur Atiqah Samad
SHAH ALAM: Pelan Transformasi Nasional 2050 atau TN50 yang diperkenal
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sesi Bajet 2017 Jumaat
lali, merupakan pembaharuan negara dalam mengatur perancangan rapi
bermula dari sekarang.
Menurut Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis
Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Seri Dr Mustafa Ishak, negara perlu
mempunyai hala tuju dan masa depan yang jelas kerana hanya berbaki
kurang tiga tahun saja lagi dalam menuju Wawasan 2020.
"Pada saya tentunya pada tahun 2020 kita tetap menilai di manakah
pencapaian kita. Tetapi dalam masa yang sama kita mesti ada perancangan
untuk 30 tahun lagi daripada sekarang, jadi kita tak boleh hanya
berpeluk tubuh menunggu hanya datang tahun 2020 dan tidak ada persiapan
negara pada masa akan datang," katanya kepada Antarapos.
Justeru beliau menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan TN50
mahu melenyapkan legasi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed
yang memperkenalkan dasar Wawasan 2020.
"Itu tak timbul, Wawasan 2020 hanya tinggal beberapa tahun saja lagi
jadi kita mesti mula mengorak langkah untuk menyediakan hala tuju baru
untuk negara (bagi) 30 tahun akan datang.
"Jadi perancangannya mesti dibuat sekarang, dengan sebab itu kita tidak
boleh mengatakan bahawa dasar ini mahu membunuh Wawasan 2020," kata
beliau yang juga pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Malah, katanya dasar ini baru saja dalam peringkat perangkaan dan sesi
rundingan dalam mengumpul input untuk menjadikan ia sebuah dasar yang
lebih komprehensif.
"TN50 itu akan dibentuk berdasarkan sesi konsultansi, diskusi meja
bulat, pertemuan kelompok masyarakat yang akan berjalan selepas ini di
bawah Kementerian Belia Sukan. Bermakna rakyat ada peluang untuk
memberikan pandangan mereka apakah rupa bentuk negara, bangsa yang
mereka mahukan dalam tempoh 30 tahun dari sekarang," katanya lagi.
Najib berkata, TN50 akan menjangkau proses dan gerak kerja selama tiga
dekad bagi memeta hala tuju negara di atas kanvas yang baru.
Katanya lagi, TN50 akan dimulakan oleh generasi muda yang terdiri daripada kalangan semua kaum melalui wacana-wacana nasional.
Beliau berkata ia akan dikendalikan Kementerian Belia dan Sukan dan akan dinaungi beliau sendiri selaku perdana menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan