HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Oktober 2016

Kunjungan Muhyiddin sangat bermakna buat Anwar dan semua

MSO

Muhyiddin berada dalam gelari mahkamah.
Saya ingat sangat bidalan ini yang dilontarkan oleh seseorang; "jangan mengharap sepat memakan kail dan cacing menelan ular". Itu bidalan mungkin tidak terpakai dalam politik sebab itu ia dilontar sebagai peringatan. Anihnya ia dilontar oleh seorang veteran politik yang arif mengenai dunia politik. Dalam politik bukan sahaja sepat akan memakan kail, lori pun akan dimakannya jika disua dan terdesak. Jadi saya kira ia terpakai dalam politik.

Begitu juga bukan sahaja cacing akan menelan ular, harimau juga akan dibahamnya. Itu sebagai muqadimah catatan ini.

Pagi ini bekas timbalan perdana menteri telah bertemu dengan seorang lagi bekas timbalan perdana menteri. Pertemuan ini berlangsung di mahkamah apabila bekas TPM itu hadir untuk mengikut perbicaraan bekas TPM yang seorang lagi. Kedua-dua mereka juga pernah duduk sesaf tidak lama dahulu yang dinamakan Tim Wawasan.

Mereka menjadi pemimpin kanan dalam parti Umno, mengikut logik dan tradisi kedua-duanya hanya sejengkal sahaja lagi untuk naik ke kerusi PM. Namun kini kedua-dua tertinggal jauh dari gerabak Umno. Mereka karam dalam politik ganas Umno yang digerakan oleh presidennya, yang keduanya tidak pernah disangka.

TPM yang satu itu tersenyum dan ketawa tatkala TPM yang satu itu ditendang keluar oleh presidennya. Dan ketawanya terhenti apabila beliau juga menerima nasib yang sama; ditendang dan diteranjang. Penolakan mereka kedua-duanya gara-gara untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. TPM satu itu baharu tahu sakit dan senaknya penangan seorang presiden Umno apabila perkara itu tertimpa sama ke atas dirinya.

Bolehlah disimpulkan dalam Umno sesiapa yang hendak cuba tegakkan keadilan dan kebenaran mereka akan menjadi mangsa kerakusan kuasa prerogatif presiden.

Tidak perlu saya perkenal siapakah kedua-dua TPM itu secara lebih lanjut sejarah dan perjalanan politik mereka. Satu masa mereka bersama membangunkan wawasan untuk membangunkan rakyat dan negara. Kemudian mereka berpisah selama 18 tahun atas keyakinan masing-masing. Kini mereka bersama lagi. Itulah dunia politik yang unik.

Perjumpaan kedua bekas TPM itu, Muhyiddin Yassin dengan Anwar Ibrahim hari ini adalah sejarah kecil sahaja namun memberi signifikan besar kepada politik pembangkang. Pertemuan itu akan mengombakkan gelombang baharu dalam politik khasnya bagi menghadapi Piraum 14. Ia berlaku selepas baru-baru ini Dr Mahathir Mohamad telah berjumpa dengan Anwar. Perjumpaan yang orang tidak terfikir akan berlaku, tetapi ia berlaku dengan indah dan mesra sekali. Sekali lagi itulah politik.

Perjumpaan itu jugalah yang menarik Muhyiddin hari ini mencuri waktunya menemui Anwar di mahkamah. Kunjungan Muhyiddin itu sebagai kesenimbungan kedatangan Dr Mahathir menemui Anwar. Ertinya peristiwa hari ini ke arah pemangkin pakatan oposisi lebih mantap dan kuat lagi. Kumpulan pembangkang di ambang kehilangan Pas mendapat suntikan daripada dua tokoh yang tidak terduga, Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Baik bagi Anwar dan juga Muhyiddin serta Dr Mahathir takdir itu menggembirakan mereka dan mengembirakan semua orang yang sehati sejiwa untuk menumbangkan Najib. Orang yang merindui persatuan akan sebak dan menangis melihat pertemuan itu. Lebih tepat lagi untuk melihat berlaku perubahan kepimpinan dan pentadbiran dalam negara.

Dr Mahathir boleh meleraikan perasaan kesalnya atas tindakan terhadap Anwar selama ini dan begitu juga sebaliknya. Hal yang sama juga bagi Muhyiddin yang sepatutnya semasa Anwar dipecat dahulu beliaulah membuntui Anwar sebagai penimbalnya tetapi tidak berlaku kerana Muhyiddin terkeliru waktu itu.

Baik Muhyiddin maupun Anwar mereka saling perlu memerlukan di antara satu sama lain. Mereka juga sedar seperti mana kebanyakan orang sedar untuk menjatuhkan Najib dan kerajaanya memerlukan tenaga dan peralatan yang cukup. Najib dan Umno bukan calang-calang. Hanya dengan kesepaduan dan kesepakatan pembangkang sahaja kerajaan berusia 61 tahun itu boleh ditumbangkan.

Saya percaya rakyat juga bergembira melihat apa yang berlaku. Setidak-tidaknya kalau pun bukan atas kepentingan politik tetapi setidak-tidaknya mereka (Muhyiddin, Anwar dan Mahathir) dapat mengemaskan semula tali silaturahim yang renggang kerana pertelingkahan politik hampir dua dekad lalu.

Begitu juga pengikut masing-masing yang selama ini bermasam muka dan berenggang kerana dipisahkan oleh "keterpisahan" tokoh-tokoh itu kembali bertakut semula. Anwar, Muhyiddin dan Dr Mahathir bagi mereka adalah biduk yang menakutkan kiambang.

Seperti mana kata Anwar beliau menghormati kedatangan Muhyiddin memberi sokongan moral kepadanya. Lebih jauh beliau berharap Muhyiddin akan turut memperkuatkan ikatan oposisi. Kedudukan Muhyiddins sebagai presiden PBBM kunjungan itu sangat baik ia menjelaskan pembentukan kerjasama baharu di kalangan pembangkang. Ada nilai tambah kepada pembangkang.

Anwar juga berharap Muhyiddin dapat menjadi penyambung pakatan oposisi dengan Pas yang kini nampak gelisah hendak melarikan diri. Anwar memberi peluang itu dan mempercayai Muhyiddin boleh melakukannya. Mungkin Anwar memerhati kunjungan Muhyiddin ke Marang Terengganu dua tiga malam lalu. Anwar tidak perlu memberi tahu siapa dan macam mana sikap politik presiden Pas. Kerana mungkin Muhyiddin ada ilmu lain.

Melihat harapan tinggi Anwar agar Pas dapat bersama itu menunjukkan tingginya daya politik Anwar. Tindakan itu mengesahkan bahawa baginya tidak ada dendam dalam politik. Kalau hendak diikutkan hati apa yang dilalui dan dirasainya dengan presiden Pas itu beliau tidak lagi perlu bersunggut dan mengharapkan Muhyiddin berunding dengan Pas.

Itulah Anwar dia tidak mementingkan dirinya tetapi meletakkan kepentingan dan matlamat perjuangan mendahului dari segala yang lain. Itulah pemimpin sejati. Baginya biarlah orang menghenrdiknya tetapi asalkan dia tidak mudah berputus asa untuk terus berjuang demi rakyat. Anwar juga memahami dan menyedari bahawa bagai mana buruknya perangai sesetengah orang Pas terhasapnya tetapi parti itu tetap merupakan aset dalam usaha hendak menggulingkan UBN.

Berjayakah Muhyiddin melaksanakan apa yang Anwar harapkan itu? Saya tidak mahu komen panjang dan memberi pendapat di sini nanti saya akan dikatakan jahat dan khianat, walaupun saya tahu apa yang sedang berlaku dan bergelora dalam parti agama itu kini.

Ah cukuplah catatan ini, saya berhenti di sini kerana malas untuk memperkatakan hal ini. Tititik.

Tiada ulasan: