Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Pembangkang sengaja mencari populariti murahan dengan
mengadakan protes terhadap Bajet 2017 semalam, apatah lagi pembentangan
itu disiarkan secara langsung.
Menurut penganalisis politik, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, pembangkang
masih boleh menggunakan saluran lain sekalipun tidak bersetuju dengan
unjuran kerajaan untuk tahun hadapan.
"Tidak kisah kalau mereka tidak puas hati dengan PM, tetapi sepatutnya
pembentangan semalam mereka kena bersama-sama. Kita nak dengar tentang
Bajet 2017.
"Kemungkinan ada niat mereka buat tindakan itu sebagai protes sebab
pembentangan itu dilakukan secara langsung, semua orang boleh tonton.
Pada saya, tindakan sebegitu tidak sepatutnya berlaku," katanya kepada
Antarapos, hari ini.
Azizuddin diminta mengulas tindakan protes yang dilakukan kesemua ahli
parlimen Pakatan Harapan (PH) dan seorang daripada PAS dengan bertindak
keluar dari Dewan Rakyat ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
membentangkan Bajet 2017.
Kesemua mereka cuba 'mengalihkan' isu pembentangan, dengan mengaitkan
siasatan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) berkenaan urus tadbir
kewangan beberapa usahawan tertentu yang didakwa mencemari sistem
ekonomi negara negara tersebut, sekaligus mencari siapakah individu di
sebalik 'Malaysia Official One' (MO1).
"Sidang semalam sepatutnya khusus untuk Bajet 2017. Tidak perlu bawa
agenda tersebut. Namun dalam perdebatan nanti, dan hendak selitkan
perbincangan isu itu boleh dilakukan, tiada masalah. Cuma Speaker akan
menggunakan prerogatifnya untuk membenarkan perbincangn berkenaan atau
tidak," demikian ujar Azizuddin dalam mengulas tindakan pembangkang itu.
Rata-rata ahli parlimen Umno-Barisan Nasional (BN) menyelar tindakan protes pembangkang itu dengan menyifatkan sebagai biadap.
Sementara itu, PAS mengambil pendekatan berbeza berbanding rakan-rakan
pembangkang yang lain apabila kesemua wakil rakyatnya kekal di kerusi
masing-masing ketika Najib melakukan pembentangan.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sahaja yang dilihat bersama kumpulan ahli parlimen PH yang lain.
Turut mengambil pendekatan yang sama adalah Ahli Parlimen Sempoerna,
Datuk Seri Shafie Apdal yang kini menerajui Parti Warisan yang mengambil
pendirian mahu mendengar keseluruhan pembentangan itu sebelum mengambil
bahagian dalam perbahasan minggu hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan