KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mengulangi gesaannya agar Program Permata Negara (PERMATA) perlu dimansuhkan atas alasan tiada keperluan, ketelusan dan akauntabiliti.
Menurutnya lagi, peruntukan dan aset PERMATA perlu diagihkan semula pada program-program pendidikan yang dikawal selia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Tiada keperluan untuk PERMATA kerana ia mempunyai objektif yang sama dengan program ‘pendidikan awal’ yang dikendalikan oleh KPM.
“Mengapakah perlu diwujudkan lagi satu badan yang menelan belanja RM45 juta dalam Bajet 2017 sedangkan KPM telah diperuntukkan RM767 juta untuk visi dan misi yang sama iaitu membangunkan pendidikan awal kanak-kanak.
“Sejumlah RM45 juta wang yang diperuntukkan untuk PERMATA adalah banyak di mata majoriti rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media.
Sebelum ini tindakan Khalid, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dan pemimpin DAP Liew Chin Tong dibidas oleh pembantu Rosmah Mansor, Rizal Mansor.
Kata Rizal, PERMATA merupakan keperluan kepada golongan yang kurang berkemampuan khususnya anak-anak di luar bandar bagi mendapatkan pendidikan awal kerajaan.
Dalam pada itu, Khalid mendakwa jawapan Rizal merupakan bukti mentaliti pimpinan Umno dalam menentukan dasar negara.
“Saya ingin jelaskan kepada Rizal bahawa itu bukan mentaliti dalam HARAPAN. Bagi kami, yang menguntungkan rakyat dan negara diutamakan bukan yang untungkan peribadi.
“Oleh itu, PH bercadang untuk memansuhkan PERMATA, yang merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Wang ini sepatutnya disalurkan dalam program pendidikan awal sedia ada, bukannya diperuntukan dalam sebuah program yang dikuasai oleh ahli yang berkait rapat dengan parti politik.
“Sekiranya kerajaan mahu menubuhkan program pendidikan istimewa yang berbeza dengan program sedia ada, maka seharusnya program tersebut ditempatkan di bawah kendalian KPM juga, bukannya JPM,” katanya lagi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan