HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Jun 2017

554 kes kemalangan ulang alik babitkan kakitangan kesihatan

MALAYSIAKINI


Sebanyak 554 kes kemalangan ulang alik direkodkan melibatkan anggota kesihatan pelbagai kategori yang berkhidmat di hospital di bawah Kementerian Kesihatan sejak 2014 hingga 2016.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes kemalangan tertinggi melibatkan jururawat iaitu 295 kes, diikuti pembantu perawatan kesihatan (91 kes), kategori jawatan lain (52 kes), penolong pegawai perubatan (35 kes), pemandu (31 kes) dan pembantu penyediaan makanan (15 kes).

"Akhir-akhir ini kemalangan jalan raya dalam kalangan doktor perubatan telah mendapat perhatian ramai terutama bagi kemalangan ulang alik. Kemalangan melibatkan pegawai perubatan ini adalah 35 kes," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini akhbar melaporkan doktor yang bertugas di hospital kerajaan mengalami letih keterlaluan akibat bekerja lebih masa dan mengakibatkan mereka terdedah risiko kemalangan jalan raya.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 69 kes direkodkan melibatkan kemalangan semasa pulang dari tempat kerja selepas bekerja di luar waktu pejabat antaranya melibatkan jururawat (47 kes) dan pegawai perubatan (lapan kes) untuk tempoh yang sama.

Beliau berkata pihaknya memandang serius kes itu yang dipercayai berlaku akibat memandu dalam keadaan penat dan mengantuk selain tidur yang tidak mencukupi.

Bagaimanapun, katanya adalah lumrah bagi anggota kesihatan yang bertugas di hospital di bawah Kementerian Kesihatan untuk bekerja di luar waktu kerja biasa memandangkan ia menawarkan perkhidmatan berterusan selama 24 jam.

"Terdapat pelbagai kemudahan disediakan untuk kakitangan, selain peruntukan sedia ada berdasarkan pekeliling yang telah dikeluarkan untuk memberi kelonggaran tertentu kepada anggota kesihatan berdasarkan budi bicara ketua jabatan dan tertakluk kepada keperluan perkhidmatan di hospital," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua anggota kesihatan supaya mengambil berat tentang keselamatan diri dan mengamalkan budaya pemanduan yang selamat, terutamanya selepas tugasan diselesaikan.

"Jika kelesuan atau mengantuk, mereka disarankan mengambil masa untuk berehat atau tidur sebentar sebelum memandu supaya selamat tiba ke pangkuan keluarga," katanya.

Dr Noor Hisham berkata kementerian itu akan berganding bahu dengan agensi-agensi berkaitan antaranya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sebagai langkah pencegahan kemalangan.- Bernama


Tiada ulasan: