HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Jun 2017

Lelaki kurang siuman ganggu pesawat, PAS mahu arak diharamkan

 
Seorang pemimpin Pemuda PAS berkata Malaysia Airlines perlu mencontohi syarikat penerbangan negara Islam lain yang tidak menyajikan arak.


Ahmad-Fadhli-Shaari_mh128_600


PETALING JAYA: PAS hari ini menggesa kerajaan segera mengharamkan terus arak daripada menu semua penerbangan Malaysia Airlines, selepas tindakan seorang penumpang memaksa sebuah pesawat syarikat itu berpatah balik ke Melbourne malam tadi.

“Kerajaan wajar mencontohi tindakan negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Kuwait, Mesir, Bahrain dan beberapa buah negara lagi yang lebih tegas di dalam isu ini.

“Bahkan negara sekecil Brunei pun lebih berani dengan mengharamkan terus hidangan arak di dalam penerbangan Royal Brunei Airlines,” kata Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

Beberapa laporan awal mendakwa lelaki itu mabuk, sambil memetik Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ab Aziz Kaprawi.

Bagaimanapun, polis Australia mengesahkan penumpang itu, seorang warga negara Sri Lanka berumur 25 tahun, mempunyai masalah kesihatan mental.

Lelaki itu cuba menceroboh ruang kokpit Penerbangan MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur, sebelum berjaya dikawal beberapa penumpang.

“Beliau baru sahaja keluar dari jagaan psikiatri dan kami percaya dari situ beliau membeli tiket untuk menaiki penerbangan ini,” kata ketua polis Victoria, Graham Ashton dipetik AFP.

Sambil menyifatkan sebarang aktiviti melibatkan arak “dilaknat” dalam agama Islam, Ahmad Fadhli berkata pengharaman arak akan membawa keberkatan.

“Sebagai sebuah negara yang dipimpin oleh perdana menteri beragama Islam, inilah masanya untuk melakukan perubahan jika benar-benar ingin berubah.”

Dua tahun lalu, sebuah pesawat Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Colombo terpaksa berpatah balik selepas seorang penumpang yang mengamuk kerana permintaannya untuk dihidangkan minuman keras tidak dilayan. Ia mengundang gesaan beberapa pihak supaya syarikat itu berhenti menyajikan arak dalam penerbangan.

Gesaan sama pernah dibuat oleh Mufti Perlis, Datuk Asri Zainul Abidin susulan kejadian kehilangan pesawat MH370 dan nahas MH17 pada 2014.

“Masa MH370 saya telah cadangkan hal ini. Ini MH17, saya mohon cadangkan kepada kerajaan sekali lagi. Hentikan arak dalam MAS moga kita dirahmati Allah,” kata Asri dalam kenyataan Facebook pada 2014.

Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang kira-kira sejam selepas berlepas pada 8 Mac, 2014, manakala MH17 ditembak peluru berpandu di atas ruang udara Ukraine pada Julai 2014.

Tiada ulasan: