Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Dakwaan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar bahawa kerajaan negeri Selangor tidak
mengambil berat tentang pangsapuri di kawasan Dewan Undangan Negeri
(DUN) Chempaka disifatkan tidak berasas.
ADUN Chempaka Datuk Iskandar Samad yang menyangkal dakwaan itu berkata,
kerajaan negeri telah membelanjakan peruntukan dan sudahpun merancang
untuk kemudahan penduduk terutamanya di pangsapuri-pangsapuri kos
rendah, termasuk di kawasan itu.
"Untuk makluman, sehingga hari ini kerajaan negeri telah menawarkan
peruntukan sebanyak RM2.7 juta kepada sembilan kawasan pangsapuri untuk
dibaikpulih di bawah Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan atau CERIA.
"90 peratus dari kerja-kerja itu telah siap dan sudah dapat dinikmati oleh penduduk.
"Kerajaan negeri juga telah membelanjakan RM792,000 melalui skim
baikpulih jalan di pangsapuri-pangsapuri kos rendah yang melibatkan 3
kawasan pangsapuri kos rendah di dalam kawasan Chempaka," katanya dalam
satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Iskandar yang merupakan Exco Perumahan, Pengurusan
Bangunan dan Kehidupan Bandar berkata peruntukan sejumlah RM1.1 juta
juga telah diperuntukkan bagi membiayai empat unit lif di dua kawasan
pangsapuri di Chempaka yang akan bermula Julai tahun ini.
"Peruntukan ini adalah sebahagian dari RM30 juta di bawah program
baikpulih dan penyelenggaraan lif di bawah program SMART LIFE untuk
seluruh negeri bagi tahun 2017," tambahnya.
Katanya, kerajaan negeri akan terus konsisten membantu penduduk
perumahan berstrata khususnya penduduk pangsapuri-pangsapuri kos rendah.
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh
Omar yang membuat tinjauan sekitar kawasan DUN Chempaka melahirkan rasa
terkejut dengan keadaan flat yang seolah terabai.
Dakwanya, walaupun kawasan itu dimenangi Iskandar yang juga exco kerajaan negeri, keadaan rumah di kawasan itu teruk sekali.
Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor turut
membidas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan meminta
rizab negeri yang terkumpul digunakan bagi memperbaiki keadaan
perumahan negeri.
“Saya pun dah turun dua, tiga tempat dan ada banyak lagi yang perlu
dibantu dan belanjalah duit kerajaan negeri yang menteri besar tak tahu
nak guna itu," sindir Noh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan