HALAMAN SANTAI

Khamis, 8 Jun 2017

FGV lantik penasihat luar siasat transaksi Safitex

 
Isa Samad berkata, FGV melalui peguam tempatan dan Dubai akan mendapatkan sebanyak mungkin tunggakan bayaran daripada Safitex.


isa-samad_fvg_60013


KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) akan melantik seorang penasihat undang-undang di Dubai untuk bekerjasama dengan rakan tempatan bagi menyiasat beberapa transaksi membabitkan anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd dan Safitex Trading LLC.
Safitex adalah firma yang berpangkalan di Dubai.

“Mereka (penasihat undang-undang) akan meneliti kaedah untuk mendapatkan semula wang itu mengikut prosedur (di Dubai),” kata Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Samad selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada golongan memerlukan hari ini.

Ditanya sama ada FGV dapat memperoleh semula 100% tunggakan daripada Safitex, Isa berkata:

“Saya tidak dapat memberi jaminan itu. Namun, kami akan berurusan dengan peguam tempatan serta di Dubai. Kami akan mendapatkan sebanyak mungkin wang berkenaan.”

Safitex gagal membuat pembayaran kepada Delima Oil sejak tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2015.

Hutang tertunggak yang mencecah AS$8.3 juta itu menyebabkan pendedahan kekurangan dan dilaporkan secara berterusan oleh firma PricewaterhouseCooper’s (PwC) pada setiap suku.

Angka itu meningkat kepada AS$11.7 juta dan melebihi had kredit yang dibenarkan bagi setiap audit kewangan berkanun PwC untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 yang turut dilaporkan kepada Jawatankuasa Audit pada 17 Februari lalu, kata Lembaga Pengarah FGV menerusi kenyataan semalam.

Selain itu, Isa berkata, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad yang diarah bercuti akan menerima surat tunjuk sebab sebaik siasatan dalaman itu selesai.

Malah, beliau berkata, nasib Zakaria bergantung kepada jawapan balas yang dikemukakannya.

Mengulas pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak berkecuali untuk meneliti penggantungan CEO dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) FGV dan 2 yang lain oleh Lembaga Pengarah, Isa berkata, ia merupakan satu langkah baik dan beliau bersedia memberi kerjasama kepada bekas menteri berkenaan.

“Ini langkah yang baik dan kami sedia bekerjasama. Ia perkara biasa untuk sesebuah syarikat itu disiasat,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini Idris belum menghubungi FGV berhubung perkara itu.

Ditanya sama ada beliau akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai siasatan itu, Isa berkata, beliau tidak akan berbuat demikian kerana ini merupakan masalah dalaman FGV.

Tiada ulasan: