HALAMAN SANTAI

Khamis, 8 Jun 2017

Mati dalam tahanan: Gobind soal mengapa peguam negara tidak adakan inkues

 
Ada peruntukan yang membolehkan tindakan diambil, kata Gobind Singh Deo, yang menyifatkan keterangan di inkuiri kematian S Balamurugan 'sangat membimbangkan'.


Gobind-Singh-Deo,-Nur-Jazlan-Mohamed,-mati-dalam-tahanan, 

PETALING JAYA: Peguam Gobind Singh Deo mengkritik peguam negara kerana tidak mengadakan inkues ke atas kematian S Balamurugan, yang mati dalam tahanan polis Februari lalu.

Gobind menggesa Tan Sri Mohamed Apandi Ali menjelaskan mengapa inkues tidak diadakan kerana Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan inkuiri perlu diadakan apabila ada kematian dalam tahanan polis.

“Seksyen 339 pula memberikan kuasa kepada pendakwaraya untuk mengarahkan inkuiri diadakan untuk menentukan punca dan keadaan yang berkaitan dengan kematian itu,” kata Gobind dalam kenyataan hari ini.

“Peruntukan itu jelas menunjukkan Parlimen mengambil berat kematian dalam tahanan dan pendakwaraya selaku pelindung keadilan diberi kuasa untuk memastikan peruntukan itu dikuatkuasakan.”

Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Kebangsaan itu merujuk kepada inkuiri Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ke atas kematian Balamurugan yang sedang berlangsung sekarang ini, dan menyorot perhatian kepada keterangan pelbagai saksi yang disifatkan sebagai “sangat membimbangkan”.

“Inkuiri terbuka seperti ini mencegah kejadian seperti itu berulang. Forum itu menimbulkan dan menangani kelematan balai polis yang menyebabkan kejadian itu.

“Jadi mengapa tiada inkues belum diadakan untuk kes ini?” kata Gobind, dan menambah orang ramai berhak tahu mengapa tiada inkues diadakan walaupun ada peruntukan yang membolehkan peguam negara bertindak dan memastikan setiap kematian dalam tahanan dijelaskan.

Balamurugan ditangkap pada 6 Februari lalu di Jalan Batu Belah di Klang dan mati pada 8 Februari lepas di IPD Klang Utara.

Peguamnya George Lazarus memberitahu EAIC mengenai tahanan lain – Tamilarasan dan seorang remaja bernama Ang yang ditahan bersama Balamurugan dan seorang lagi yang bernama Kanapathy – yang memberitahu Balamurugan dipukul polis.

“Mereka kata Bala paling teruk dipukul,” katanya dalam keterangan kepada inkuiri itu bulan lalu.
Selepas Balamurugan mengalami muntah-muntah, Lazarus berkata majistret menolak permohonan reman atas alasan tahanan tidak sihat.

Gari Balamurugan dibuka tetapi beliau tidak dibenarkan pulang, kata peguam.

Pada Selasa, pegawai penyiasat Inspektor Mohd Noor Husri Johari memberitahu inkuiri yang Balamurugan tidak dibebaskan kerana Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) mengarahkan tangkapan semula walaupun menyedari keadaan kesihatannya.

Noor Husri berkata orang atasannya sedar keadaan tahanan tetapi menunggu maklum balas JSJ.

Beliau menambah orang atasannya dan JSJ tahu mengenai keadaan kesihatan Balamurugan kerana seorang pegawai bercakap mengenainya dalam kumpulan WhatsApp yang terdiri daripada pegawai kanan, termasuk daripada JSJ.

Tiada ulasan: