KUALA LUMPUR
– Penyokong dan media diminta supaya tidak terburu-buru mengkritik
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim
hanya kerana kekalahan Malaysia 1-2 kepada Lubnan, baru-baru ini.
Timbalan Presiden FAM
Datuk Yusoff Mahadi berkata Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu baru memulakan
tugas 84 hari lepas dan adalah tidak adil untuk pelbagai pihak
melontarkan kritikan secara peribadi terhadap baginda.
“Kekalahan itu menjadi
bahan bualan di sesetengah akhbar dan media sosial seolah-olah presiden
yang bersalah. Saya risau jika perkara ini diperbesar-besarkan, baginda
akan angkat kaki.
“Kita perlu memberi
sokongan di atas usaha dan pembaharuan yang dilakukan oleh TMJ. Baginda
tidak memerlukan FAM, tetapi FAM dan penyokong sangat memerlukan
baginda.
“Kita pernah mengalami
situasi sukar apabila presiden sebelum ini melepaskan jawatan sebelum
penggal berakhir, kita tak nak perkara ini berulang. Jika ada pemimpin
baru pun, tidak pasti beliau boleh membawa kemenangan dalam semua
perlawanan selepas ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Aksi Kelayakan Piala
Asia 2019 menentang Lubnan itu, merupakan perlawanan pertama skuad
Harimau Malaya, selepas TMJ mengambil alih pucuk kepimpinan FAM pada Mac
lalu.
Sementara itu, Yusoff
yang juga pengurus pasukan Bawah 22 (B-22) negara, berkata ketua
jurulatih skuad itu, Datuk Ong Kim Swee akan mengenal pasti 25 pemain
selepas aksi persahabatan menentang Melaka United pada Khamis ini, untuk
persediaan kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)
2018 di Bangkok, pada Julai dan Sukan SEA ke-29, Ogos ini.
“Selepas 25 pemain
dikenal pasti, kita akan menghantar surat panggilan kepada semua
persatuan yang terlibat untuk mereka melepaskan pemain masing-masing.
Sekiranya ada masalah, kita akan bincang dengan mereka dan mencari
penyelesaian terbaik.
“Kita mahu situasi
menang-menang kepada kedua-dua pihak untuk mencari jalan terbaik… Kalau
tidak boleh capai persetujuan, keutamaan nasional akan diberi
perhatian,” katanya.
Prestasi pasukan itu
sepanjang tiga aksi persahabatan di China yang menyaksikan kekalahan 0-1
menentang skuad B-22 China, seri 2-2 berdepan skuad Guangzhou R (amp) F
dan kemenangan 3-1 ke atas pasukan simpanan Guangzhou Evergrande
baru-baru ini memuaskan kita,” katanya. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan