shahbudindotcom
Isteri
Perdana Menteri, Rosmah Mansor mengarahkan peguamnya memantau media
sosial untuk melihat kemungkinan wujudnya serangan dan tuduhan palsu
terhadap beliau.
Peguamnya
memberitahu, mereka memantau semua platform media sosial dan penerbitan
lain untuk mengenalpasti catatan yang berunsur fitnah dan tidak berasas
berkaitan Rosmah.
Tindakan
Rosmah ini adalah susulan pemfailan terbaru Jabatan Kehakiman AS atau
DOJ setebal 251 halaman dua hari lalu yang antara lain menyebut isteri
Malaysian Official 1 turut dihadiahkan beberapa barangan kemas mewah
yang berpunca daripada dana 1MDB yang dilencongkan.
Dalam
dokumen terbaru DOJ itu, isteri Malaysian Official 1 didakwa menerima
barang kemas yang keseluruhannya berjumlah AS$28.6 juta atau
kira-kira-kira RM128 juta.
Tidak
disebut dengan pasti siapa isteri Malaysian Official 1 dalam dokumen
DOJ itu, cuma Abdul Rahman pernah mengesahkan Malaysian Official 1 yang
disebut dalam saman sivil kali pertama dulu tidak lain ialah Najib
Razak.
Tetapi, Najib sendiri tidak pernah mengakui Malaysian Official 1 adalah dirinya.
Jadi, siapa yang mahu disaman oleh Rosmah?
Adakah
pengguna media sosial yang menyebut nama Rosmah secara langsung atau
mereka yang menulis isteri Malaysian Official 1 pun akan turut disaman
juga?
Selain itu, kenapa penulis di media sosial saja yang mahu disamannya?
Tidakkah
semua tulisan atau catatan di media sosial berkaitan dirinya yang
menjadi perbualan ramai sekarang adalah berdasarkan dokumen DOJ?
Kenapa
tidak DOJ lebih dulu disaman jika Rosmah merasakan dirinya terganggu
dengan laporan yang berunsur fitnah, tidak berasas, memburukkan nama
atau menjejaskan reputasinya?
Lagi
pula tanpa laporan DOJ yang mengaitkan nama Rosmah berdasarkan bukti
dan hasil penyiasatan mereka untuk menjejaki ke mana perginya dana 1MDB
yang dilencongkan, tentulah tidak mungkin sesiapa mahu menyebut namanya.
Dengan itu, DOJlah yang sepatutnya lebih dulu disaman oleh Rosmah berbanding mana-mana pemilik akaun media sosial di negara ini.
Dalam
pada itu, terlanjur Rosmah sudah mengugut mahu menyaman, adakah tulisan
atau kenyataan seperti yang dikeluarkan oleh Muhyiddin Yassin yang
memintanya memulangkan barang kemas bernilai RM128 juta turut tidak
terlepas daripada tindakan saman beliau?
Mungkinkah Muhyiddin yang bermusuh dengan suaminya, Najib menjadi orang pertama disaman Rosmah?


Tiada ulasan:
Catat Ulasan