Oleh Athirah Hanapiah
KUALA LUMPUR: Jika Sultan Selangor memaafkan Ahli Parlimen Subang, R.
Sivarasa rakyat terpaksa akur dan menerimanya, kata Datuk Bung Mokhtar.
Pun begitu menurut Ahli Parlimen Kinabatangan itu, beliau masih kesal
dengan tindakan Sivarasa memasuki ruang solat sebuah masjid, yang
padanya tidak sepatutnya berlaku.
"Dia (Sivarasa) minta maaf, kalau Sultan maafkan kita terimalah.
Walaupun sudah memohon maaf dan sebagainya, pada saya ianya merupakan
satu pelanggaran yang tidak sepatutnya berlaku.
"Lebih-lebih lagi dia wakil rakyat, dia juga seorang peguam sepatutnya
dia tahu adat istiadat di Selangor ini tidak mengizinkan," katanya
ketika diwawancara secara eksklusif oleh Antarapos.
Sivarasa sebelum ini mengesahkan sudahpun menghantar sepucuk surat
peribadi kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, memohon
maaf atas ketelanjurannya memasuki ruang solat walaupun tidak
menyampaikan ucapan politik di Masjid An Nur Kampung Melayu Subang pada
24 Mei lalu.
Terdahulu Sultan Sharafuddin menyatakan baginda murka dan tindakan Sivarasa itu melampaui batas.
Baginda bertitah, larangan menggunakan kawasan masjid untuk tujuan politik sudah berkali-kali dizahirkan.
Bung yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata Sivarasa sebagai
seorang wakil rakyat dan juga peguam seharusnya sudah tahu tentang
akibat di atas perbuatannya.
"Saya memang kecewa di atas perbuatan sebegini, seharusnya sebagai
wakil rakyat dia sedar bahawa itu satu perbuatan yang dia tidak boleh
lakukan.
"Jadi pada saya inilah akibatnya apabila seorang pemimpin dalam sebuah
organisasi politik tidak menghormati budaya, agama antara satu sama lain
dan akhirnya berlaku perkara-perkara yang tidak seharusnya berlaku,"
ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan