Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: PAS Kelantan berharap rundingan semula PKR di peringkat
Pusat berhubung kedudukan wakilnya di Kelantan akan mencapai hasil yang
positif.
Exco Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmod berkata PAS Kelantan masih
membuka tawaran untuk kesemua wakil PKR di negeri itu mengekalkan
jawatan yang disandang mereka hingga tamat penggal ini.
"Seperti dalam kenyataan awal saya, ahli PKR yang dilantik itu paling tidak pun biarlah mereka tinggal di situ sehingga PRU14.
"Supaya persefahaman kita, kemenangan kita secara bersama dulu kita
dapat laksanakan tanggungjawab yang telah diberi sehingga PRU14, kalau
tak nak sampai PRU14 pun tunggu sampai hujung tahun," ujarnya ketika
dihubungi Antarapos.
Beliau berkata demikian merujuk kepada tindakan PKR Pusat yang terpaksa
membincangkan semula mengenai kedudukan wakilnya di Kelantan selepas
mereka dikatakan enggan berundur.
PKR sebelum itu membuat arahan agar kesemua wakilnya di Kelantan
melepaskan jawatan masing-masing serta merta, sebagai respon kepada
tindakan PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan partinya.
Fattah yang memegang portfolio Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia
dan Sukan Kelantan berkata PKR harus memikirkan kelancaran pentadbiran
kerajaan negeri sepertimana yang dipersetujui di Selangor.
"Kita harap keputusan yang baru nak dibuat tu kita minta agar lebih
menjurus kepada kerjasama ke arah menghadapi PRU14," katanya.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anuar semalam dilaporkan PKR akan
membuat ketetapan baru selepas wakilnya enggan akur pada arahan parti,
untuk melepaskan jawatan masing-masing di Kelantan.
Izzah berkata sehingga kini wakil PKR di Kelantan masih tidak bertindak
balas pada arahan yang dibacakan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail, walaupun sudah sebulan berlalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan