Menurutnya, jika pelaburan itu mendakwa mampu memberi pulangan lebih daripada 15 peratus setahun, ia pastinya menimbulkan curiga dan syak.
"Tiada pelaburan yang beri lebih daripada 15 hingga 20 peratus setahun. Kalau ada skim itu, pelabur perlu syak kerana pasti ada perkara yang tidak kena," katanya dalam sidang media selepas Majlis Sumbangan Bungkusan Kuih Raya PDRM Tahun 2017, di Bukit Aman, hari ini.
Jelasnya, pelabur perlu peka perkara ini dan usah selepas mengalami kerugian baru hendak menyesal dan ketika itu laporan polis dibuat dan sebagainya.
"Kita perlu mula-mula lagi letakkan syak kepada pelaburan yang beri keuntungan lebih daripada 15 peratus. Banyak kali telah dinasihat, tapi masih ada lagi yang berani melabur dalam skim-skim sebegini," katanya.
Justeru, PDRM sentiasa bekerjasama dengan pihak Bank Negara Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk kes-kes sebegini.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kira-kira 400,000 individu membabitkan warga tempatan serta asing dipercayai menjadi mangsa penipuan skim pelaburan kontroversi JJ Poor to Rich (JJPTR). Siasatan awal jumlah pelaburan paling rendah dibuat oleh pelabur adalah RM4,500 dan ada mangsa yang sanggup melabur sehingga RM100,000.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM akan memantau Kontinjen Melaka untuk melihat perkembangan seterusnya selepas dirombak bulan lalu.
Khalid memberitahu, beliau sedang menunggu apa juga tindakan dan hasil siasatan SPRM terhadap pegawai yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebelum ini, PDRM melakukan rombakan besar-besaran dengan menukarkan 15 pegawai dan anggota Kontinjen Melaka yang terbabit dengan salah guna kuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan