SHAH ALAM: Timbalan Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Jeyaindran
Sinnathurai berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mengalami kecederaan
ringan selepas terbabit dalam kemalangan dua hari lalu.
"Saya sudah periksa dia (semalam) dan keadaan dia stabil. Mungkin esok
dia akan dibawa ke hospital atau pakar orthopedik datang periksa hari
ini (di penjara).
"Memang keadaan dia tidak begitu serius. Esok tertakluk kepada pakar
orthopedik, mungkin dia akan dibawa ke hospital untuk jalankan X-tray
dan apa-apa (rawatan) yang perlulah.
"Untuk tahap sekarang ini tidak perlu dibawa ke hospital," katanya sebagaimana memetik laporan The Malaysian Insight.
Pada 22 September lalu, Anwar terlibat dalam satu kemalangan jalan raya
ketika menaiki kenderaan Jabatan Penjara dari Hospital Kuala Lumpur ke
Penjara Sungai Buloh sekitar jam 12.30 tengah hari.
Jeyaindran memaklumkan Anwar mengalami ketegangan otot di bahagian leher dan tangan namun tidak serius.
Bagaimanapun rawatan lengkap sudah diberikan kepada Ketua Umum Pakatan
Harapan (PH) itu malah Anwar juga sentiasa menjalani pemeriksaan.
"Hari-hari doktor di penjara periksa dia (Anwar). Dan tadi (pagi) pun
saya diberitahu dia stabil dan isterinya (Dr Wan Azizah Wan Ismail) akan
lawat dia hari ini.
"Lagipun di penjara pun ada katil hospital dan kemudahan yang cukup.
Kalau pakar perlu baru pergi (hospital) tapi saya rasa sekarang tidak
perlu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan