HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 September 2017

Beri pengundi elaun perjalanan bukan beli undi, kata menteri

 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low menolak kenyataan SPRM yang tindakan menerima elaun perjalanan tidak bermaka pengundi akan menyokong penajanya.


paul-low_pengundi_600

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low hari ini menolak kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemberian elaun perjalanan kepada pengundi untuk balik kampung mengundi ialah satu bentuk rasuah.

Ini kerana, katanya, pengundi tidak wajib menyokong parti atau individu yang menaja perjalanan mereka, melainkan ada bukti menunjukkan pengundi itu diberikan wang dengan syarat untuk mengundi calon tertentu.

“Adakah itu mempengaruhi seseorang mengundi anda? Saya tak fikir begitu.

“Jadi, kecuali orang itu beritahu pengundi ‘saya beri anda wang dengan syarat anda undi saya’, maka pemberian dana itu tidak boleh dianggap tindakan merasuah,” katanya yang bertanggungjawab terhadap tadbir urus, integriti dan hak asasi manusia.

Beliau berkata demikian di luar Persidangan Serantau mengenai Demokrasi di Asia Tenggara, anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Yayasan Kofi Annan hari ini.

Low yang pernah mengetuai Transparency International-Malaysia mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki yang dipetik Sin Chew Daily berkata, penawaran sebarang bentuk dorongan, tidak kira wang tunai atau hadiah, dianggap rasuah.

Tetapi, katanya, ia bukan satu bentuk rasuah jika ahli politik memberi bantuan kepada golongan miskin.

“Contohnya, jika pemimpin politik tertentu mengagihkan beras atau bantuan kepada orang miskin di kawasannya, ini tidak dianggap rasuah,” katanya.

Tiada ulasan: