Sementara itu, tidak ada definisi ‘Hari Kebangsaan' di dalam Perlembagaan Malaysia, mahupun Perlembagaan Tanah Melayu.
Inilah kesan selepas Perlembagaan Tanah Melayu disadur sebagai Perlembagaan Malaysia.
Tafsiran 'kemerdekaan’ pun adalah kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Sementara tafsiran ‘Persekutuan’ juga adalah Persekutuan yang dibentuk di awah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.
Akhirnya, Perlembagaan Malaysia dibentuk melalui Akta Persekutuan Tanah Melayu sahaja.
Bagaimanapun, oleh kerana Persekutuan Tanah Melayu adalah rakan sama taraf kepada Sabah dan Sarawak, raanya tidak ada masalah besar untuk rakyat Malaysia di Sabah khususnya untuk menerima, sekaligus menghormati kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Justeru, tidak keterlaluan jika kita ucapkan "Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-60", khususnya kepada rakyat Malaysia di Persekutuan Tanah Melayu dan Persekutuan Malaysia amnya, sebagaimana rakyat Sabah juga ingin dihormati oleh rakan kongsi yang lain.
Sebenarnya, 31 Ogos 1963 adalah tanggal bermulanya penurunan kuasa ke atas North Borneo (Sabah) untuk membolehkan Sabah memerintah sendiri.
Malahan Sabah sempat memerintah lebih kurang dua minggu sebagai sebuah negara sebelum mengambil keputusan menyertai Gagasan Malaysia, idea Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, bersama-sama dengan Sarawak dan Singapura.
Pada awalnya semuanya baik, tetapi malangnya di era 70-an kita semakin kehilangan banyak keistimewaan, malahan aspirasi rakyat Sabah untuk maju setaraf dengan rakan kongsi Persekutuan Tanah Melayu sehingga hari ini masih belum kesampaian.
Yang utama di sini, kita sudah mulai menyedari hak kita, rakyat Sabah di dalam Persekutuan Malaysia sebenarnya dijamin melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Atas sebab itu, seperti juga kerajaan Sarawak menghantar rombongan ke London mengkaji MA63, maka selari dengan hasrat itu Biro Penyelidikan MA63, Parti Warisan Sabah diwujud atas tujuan sama mengkaji perkara ini, mengenai hak rakyat Sabah yang mana ramai tidak ketahui, atau tidak sedari.
MA63 ini adalah dokumen penting yang dimeterai oleh Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.
Inilah yang kita perjuangkan dalam Parti Warisan Sabah agar Sabah diiktiraf sebagai wilayah berdaulat oleh Persekutuan Tanah Melayu dan hak kita di dalam Perjanjian Malaysia bukan sahaja dihormati tetapi harus dilaksana tanpa kompromi.
Selain itu, Parti Warisan Sabah berpendirian bahawa ‘Hari Kebangsaan’ juga harus dimasukkan di dalam Perlembagaan Malaysia sebagai hari yang harus diingati dan dirayakan oleh seluruh rakyat Malaysia, selain dari Hari Kemerdekaan Tanah Melayu seperti mana yang disambut pada setiap 31 Ogos.
FRANCIS AU adalah Ketua Penerangan Wira, Parti Warisan Sabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan