HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 September 2017

Jabatan Imigresen pastikan individu, penganjur pesta gay tidak memasuki Malaysia

ASTRO AWANI

Jabatan Imigresen pastikan individu, penganjur pesta gay tidak memasuki Malaysia
Mustafar berkata, seramai 46,551 individu telah ditolak kemasukan ke negara ini di atas pelbagai kesalahan imigresen dari 1 Jan sehingga 30 Jun ini. - Gambar fail
 
 
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa yang lain bagi mengesan dan memastikan individu-individu atau penganjur berkaitan pesta gay yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur pada 30 Sept ini, tidak menjejakkan kaki mereka ke negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata jika JIM mengesan individu-individu terbabit ini cuba memasuki negara, mereka akan diberikan Notis Penolakan Masuk (NIL) di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1559/63.

Katanya, pihaknya dengan tegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membawa gejala yang tidak sihat, tidak bermoral dan yang boleh mengancam ketenteraman awam, keselamatan serta kedaulatan negara ini.

"JIM dengan tegas akan menolak kemasukan individu atau penganjur yang cuba memasuki negara ini bagi menyertai pesta gay itu. Tindakan yang tegas itu diambil selaras dengan arahan daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mustafar, seramai 46,551 individu telah ditolak kemasukan ke negara ini di atas pelbagai kesalahan imigresen dari 1 Jan sehingga 30 Jun ini.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu Kerajaan Malaysia tidak akan membenarkan sebarang acara atau parti gay yang dilaporkan dirancang untuk diadakan di Kuala Lumpur pada 30 Sept.

Beliau dilaporkan berkata walaupun sehingga ini penganjur acara itu belum membuat permohonan permit bagi membolehkan acara itu berlangsung, beliau telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tidak meluluskannya.

Laporan sebuah laman portal mengatakan satu acara gay akan diadakan di Kuala Lumpur pada 30 Sept ini, bagi mempromosikan acara perhimpunan gay tahunan terbesar di Asia iaitu "White Party Bangkok" di Thailand yang dijadualkan berlangsung pada 28 Dis depan.-- BERNAMA

Tiada ulasan: