Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Bekas ahli seumur hidup PKR, Badrul Hisham Shaharin
mempertikaikan kesahihan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
dikeluarkan semalam mengenai isu rundingan antara PKR dengan PAS.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, kenyataan
terbaru Ketua Umum PKR itu seolah-olah 'disolek' pihak tertentu demi
menghalalkan usaha Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali, individu
yang menggerakkan inisiatif dalam mewujudkan rundingan antara dua parti
itu.
"Mengenali sosok Anwar Ibrahim, pengalaman saya berhubung, bercakap dan
membaca tulisan Anwar Ibrahim, saya boleh katakan kenyataan tersebut
bukan ditulis oleh Anwar Ibrahim.
"Sebab kenyataan dikeluarkan dengan pelbagai cara. Dan saya percaya
kenyataan semalam disalin oleh peguam dan ditulis semula, dan disiarkan
mengikut kepentingan kelompok peguam Anwar.
"Yang nyata, kenyataan tersebut telah dimekap dan disolek supaya ia
memenuhi kehendak kartel Azmin yang cuba mewajahkan bahawa tulisan itu
menghalalkan rundingan yang dibuat kononnya atas arahan Anwar
semata-mata," katanya kepada Antarapos.
Dakwa bekas ketua PKR Cabang Rembau itu lagi, terdapat keraguan ketara
dalam kenyataan tersebut yang menyentuh mengenai kerjasama PAS dan Umno,
yang mana kata Chegubard, membuktikan bahawa ia bukan pendirian Ketua
Pembangkang itu.
"Cuba kita tengok betul-betul kenyataan tersebut, dalam keadaan kita
bermati-matian mengatakan bahawa PAS menerima bayaran daripada Umno dan
(Datuk Seri) Najib Razak, tapi dalam kenyataan tersebut kalau kita
faham, dalam tulisan tersebut seolah-olah Anwar menerima penafian PAS.
"Kalau Anwar terima penafian tersebut, maka Sarawak Report berbohong,
Rafizi dan Husam Musa membohong. Kerana itu saya kata kenyataan itu
palsu, disalin balik dan disolek berdasarkan kehendak kelompok peguam
itu.
"Kedua, mana mungkin Anwar buat kenyataan berbolak balik. Anwar ini seorang yang tepat dan tegas," katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai bukti atas asas dakwaannya itu, Chegubard enggan mendedahkan sumber beliau.
Anwar semalam dalam kenyataannya tampil mengesahkan beliau mempersetujui usaha mewujudkan rundingan antara partinya dengan PAS.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Biro Komunikasi parti itu,
Anwar berkata PKR konsisten untuk mengukuhkan Pakatan Harapan (PH) dan
seandainya wujud rundingan bersama parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi
Awang itu, ia tetap akan berlaku dalam 'kerangka komitmen PKR dengan
PH'.
Anwar berkata, dasar PKR adalah 'tidak memusuhi PAS'.
Azmin yang juga Menteri Besar Selangor dilihat sebagai tokoh utama yang
mahu meneruskan rundingan PKR dengan PAS, selepas tahaluf siyasi antara
kedua-dua parti terputus secara rasmi pada Mei lalu.
Pendirian itu akhirnya membawa perpecahan dalam parti itu, namun Azmin
menafikan rundingan dengan PAS dibuat atas tindakan individu sebaliknya
ia adalah mandat parti.
Hari ini, Azmin dalam kenyataannya berkata usaha beliau yang
menggerakkan inisiatif dalam mewujudkan rundingan bersama PAS akhirnya
dibuktikan betul, susulan kenyataan yang dikeluarkan Anwar semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan