Menteri kesihatan berkata, Malaysia akan menghantar
surat rasmi kepada Singapura dalam masa terdekat untuk menyatakan rasa
tidak puas hati terhadap laporan tidak berasas The Independent dan
menuntut permohonan maaf daripada mereka.
KLUANG: Kementerian Kesihatan akan menghantar surat rasmi kepada kerajaan Singapura bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung penyiaran berita tanpa fakta sebenar mengenai perkhidmatan kesihatan dan warga perubatan negara ini oleh sebuah portal berita di republik itu.
Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, surat itu akan dihantar dalam masa terdekat, selepas pihaknya berbincang dengan bahagian perundangan kementeriannya dan Kementerian Luar.
“Surat kepada kerajaan Singapura itu (akan) menyatakan perasaan dan pandangan kita terhadap apa yang dilakukan portal terbabit. Selepas itu, terpulang kepada kerajaan Singapura melakukan apa yang perlu,” katanya selepas merasmikan majlis peletakan batu asas pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Nyior di Sri Lalang, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan dan Pengerusi MIC Johor, Datuk M Asojan.
Dr Subramaniam yang juga presiden MIC mengulas laporan portal berita The Independent yang mendakwa ambulans Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru lewat memberi respons sehingga 30 minit terhadap laporan kemalangan membabitkan seorang rakyat Singapura pada 25 Ogos lepas.
Artikel itu mendakwa kelewatan itu menjejaskan usaha untuk membawa mangsa berusia 25 tahun berkenaan mendapatkan rawatan di hospital pada kadar segera.
Laporan itu juga mendakwa HSA menuntut sejumlah wang deposit daripada keluarga mangsa sebelum membenarkan sebarang rawatan dijalankan.
Dr Subramaniam yang juga ahli Parlimen Segamat mengecam sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab portal itu kerana segala yang dilaporkan tidak berasas.
“Perkara pokoknya, ambulans sudah dihantar serta-merta. Tuduhan menyatakan kakitangan hospital enggan memberi rawatan jika bayaran tidak dibuat juga tidak berasas, berikutan rawatan kecemasan sudah diberikan kepada mangsa sebelum ketibaan waris dan ahli keluarga dari Singapura,” katanya.
Beliau menegaskan masalah komunikasi yang timbul ekoran kakitangan hospital berbahasa Melayu tidak boleh dijadikan alasan kerana mana-mana hospital di dunia menggunakan bahasa ibunda.
Ditanya sama ada kementeriannya akan menuntut permohonan maaf daripada The Independent, Dr Subramaniam berkata, aspek itu akan dicadangkan dalam surat rasmi terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan