HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 September 2017

Rempuh kenderaan halang laluan: Polis tahan dua penarik kereta

ANTARAPOS

Post Pic

  
KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung tindakan mereka yang dipercayai cuba mengugut dan menghalang laluan seorang pemilik kenderaan dalam kejadian di sebuah pusat servis pendingin hawa di Rawang Mutiara, dekat sini semalam.
 
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, selain penahanan dua suspek, keterangan beberapa saksi juga telah diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan.
 
Dalam kejadian pukul 4.40 petang semalam, kedua-dua suspek berusia 25 dan 32 tahun bersama tiga lagi rakan mereka datang ke lokasi kejadian dengan menaiki kereta Proton Wira dan Proton Persona seterusnya meletakkan kenderaan mereka di belakang kereta pemilik Proton Saga FLX bagi menghalang kenderaan tersebut keluar.
 
Kelima-lima lelaki berkenaan kemudian menghampiri pemilik kereta Proton Saga FLX berusia 33 tahun dan mahu merampas kunci kenderaannya tanpa memperkenalkan diri.
 
“Kejadian itu menakutkan pemilik kereta Proton Saga FLX yang kemudiannya bertindak mengundurkan kenderaannya ke belakang untuk melarikan diri kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.
 
“Ketika mengundurkan kenderaan, pemilik kereta tersebut telah melanggar kereta Proton Wira yang menghalang laluannya sebelum meninggalkan tempat tersebut,” katanya.
 
Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kedua-dua belah pihak telah membuat laporan berkaitan kejadian tersebut.
 
Insiden itu dipercayai dirakam salah seorang daripada lima lelaki itu yang kemudiannya menjadi viral di laman sosial.
 
Dalam video berdurasi satu minit itu, kelihatan pemandu kereta Proton Saga FLX mengundurkan kenderaan beberapa kali dan melanggar kereta Proton Wira yang menghalang laluannya.
 
Menurut maklumat awal yang tular, kejadian itu dipercayai berlaku kerana pemandu Proton Wira yang merupakan penarik kereta cuba mengambil kunci Proton Saga FLX tersebut untuk dipulangkan semula kepada pihak bank atas alasan kegagalan lelaki tersebut menjelaskan bayaran bulanan. 


Tiada ulasan: