PORT DICKSON: Ahli dan penyokong akar umbi PKR Port Dickson hari ini
membantah calon yang dijangka mewakili gabungan pembangkang PKR di
kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pengarah Kempen Calon PKR Parlimen itu, Mohamad Nor Mohamad Sap
berkata, walaupun nama calon hanya akan diumumkan pada malam ini,
individu yang disebut-sebut bertanding di kerusi itu sudah diketahui
ekoran senarai nama yang ditularkan sejak malam tadi.
Ujarnya, pemilihan Naib Ketua PKR Port Dickson, Rosman Jonid adalah
tidak sesuai kerana beliau gagal menjalankan tugas dan akan mengulangi
kegagalan penyandang kerusi Parlimen dari PKR sebelum ini, Datuk Kamarul
Baharin Abbas.
“Kami tidak boleh terima calon payung terjun dan yang tidak buat kerja.
Pemilihan Rosman merupakan kisah malang kepada PKR kerana beliau adalah
legasi kepada Kamarul Baharin yang tidak turun padang selama dua
penggal.
“Kami banyak menerima rungutan daripada masyarakat mengenai prestasi
Ahli Parlimen sebelum ini yang banyak ‘tidur’ itu,” katanya dalam sidang
akhbar yang dihadiri kira-kira 40 ahli PKR di sini hari ini.
Mohamad Nor berkata, mereka meminta pucuk pimpinan menimbangkan seorang
veteran tentera, Datuk Halim Khomiza sebagai calon dan bukannya Rosman
yang tidak memahami masyarakat, budaya dan politik tempatan.
Katanya, pimpinan gabungan pembangkang PKR perlu tegas dalam pemilihan
calon di kerusi Parlimen yang sebelum ini dikenali sebagai Telok Kemang
kerana dibimbangi isu itu boleh memberi kesan kepada sokongan di
peringkat akar umbi.
Calon-calon gabungan pembangkang PKR bagi kerusi Parlimen dan Dewan
Undangan Negeri Sembilan untuk PRU-14 dijangka diumumkan Presiden PKR,
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Seremban malam ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan