MUKADDIMAH
Semakin dekat PRU ke-14, ada beberapa
tokoh agama yang tidak berpolitik, semakin galak mengajak rakyat menolak
politik yang berteraskan agama. Tolak politik golongan Ulama. Tolak
politik menggunakan Ijtihad secara Islam, kerana Ijtihad itu yang boleh
jadi betul dan boleh jadi salah.
Mereka sangat naif dalam memahami sistem politik dan perundangan dalam negara kita.
Beberapa tuduhan mereka
Kata mereka, "Semua Ijtihad dan
pandangan golongan Ulama daripada parti tertentu adalah untuk
kepentingan partinya. Bukan untuk kepentingan Islam". "Ada parti
mendakwa Parti Islam tetapi mencerca orang, menghina parti lain dan tak
ada akhlak Islam".
"Mereka mengkafirkan pihak yang tak bersetuju dengan pendapat mereka". "Mereka Khawarij" dan banyak lagi.
Begitulah PAS diserang dengan ganas dan keras oleh golongan agama yang tidak berpolitik.
Apa yang mereka mahu?
Mereka tidak suka politik. Tidak mahu
berpolitik. Mereka mahu dunia yang bersih semata-mata. Yang makruf
sahaja, tiada yang munkar. Yang baik saja, tiada yang jahat. Yang jernih
saja, tiada yang keruh.
Mereka tidak suka melihat tokoh-tokoh
politik berkempen, membentangkan manifesto dan mengkritik keburukan dan
kesilapan kerajaan sebelum ini dan memberikan cadangan alternatif yang
lebih baik.
Mereka tak suka rakyat memilih pemimpin.
Mereka tak suka pilihan raya. Mereka suka kerajaan yang sedia ada saja.
Mereka hendak taat kepada kerajaan itu saja. Tak perlu susah-susah
menukar kerajaan. Walaupun salah guna kuasa dan menyusahkan rakyat.
Mereka tidak mampu bersabar dengan
karenah masyarakat. Mereka hanya mahu beruzlah daripada aktiviti
kemasyarakatan dan politik. Mereka hanya mahu membawa diri mereka. Tidak
mahu memimpin masyarakat. Mungkin itulah yang mereka mahu.
Atau mungkin ini yang mereka mahu?
Mungkin juga, mereka tidak mahu orang
ramai mengundi PAS dalam PRU ke-14. Mereka tak suka golongan agama
berpolitik. Golongan agama sepatutnya mengajar di sekolah-sekolah agama
dan madrasah saja.
Serahkan urusan politik kepada bukan
ahli agama sepenuhnya. Ahli agama, cukuplah sebagai penasihat yang tidak
berpihak. Lebih mudah nasihat itu diterima.
Cukup Sekular bunyinya. Mungkin itulah
politik mereka. Dengan itu, mereka hanya mahu rakyat mengundi BN atau PH
sahaja di dalam PRU ini. Mungkin itulah yang mereka mahu.
Apakah yang mereka terlepas?
Mereka tidak sedar mereka berada dalam
ruang lingkup sistem politik itu sendiri. Mereka pensyarah, mereka
terikat dengan Menteri yang menguruskan Kementerian Pengajian Tinggi.
Mereka Mufti, mereka terikat sedikit sebanyak dengan cadangan Menteri
Besar yang menasihati Sultan dalam perkara berkaitan urusan agama Islam.
Bahkan semua Kementerian dan
Jabatan-jabatan dibawahnya akan distrukturkan oleh parti yang memenangi
pilihan raya. Mereka juga tidak sedar bahawa proses meminda atau
menambah baikkan Undang-undang Syariah juga memerlukan cadangan dan
sokongan daripada Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat.
Di mana ahli-ahli YB di Dun dan
Parlimen, hanya dipilih melalui pilihan raya. Mereka seakan terlepas
pandang kesan besar yang terhasil daripada sesebuah pilihan raya.
Adakah mereka sedar rakyat terbeban dengan beberapa dasar Kerajaan BN?
Dasar percukaian kerajaan seperti GST,
telah menyebabkan ramai yang merana. Walaupun kerajaan
bergembira. Peniaga mengeluh. Rakyat mengeluh. Orang kampung mengeluh.
Orang bandar pun mengeluh.
Apa tidaknya, jika setiap bulan,
katakanlah sesebuah isi rumah hanya berbelanja sebanyak RM 1000 untuk
keperluan asasi dan makanan, mereka dikenakan GST sebanyak RM 60. Jika
setahun, sebanyak RM 720 cukai GST dikenakan ke atas mereka.
Antaranya, dasar menghapuskan subsidi
minyak. Minyak kononnya ditaksirkan mengikut harga minyak dunia. Ketika
harga minya dunia rendah, minyak di negara kita semakin mahal.
Bayangkanlah, jika harga minyak dunia melonjak!
Selanjutnya, harga barang keperluan
melambung naik. Dan Kerajaan sedia ada hanya menyediakan alternatif
Kedai 1 Malaysia dan dasar "Ubah gaya hidup anda" untuk mengatasinya!
Antaranya lagi, terdapat pelbagai
skandal kewangan yang parah di bawah BN seperti 1MDB, Saham FELDA,
kerugian daripada krisis spekulasi mata wang, Skandal BMF, Skandal
PERWAJA dan lain-lain. Termasuk dasar zalim yang menafikan hak royalti
untuk Terengganu dan Kelantan.
Adakah mereka sedar PH mempunyai dasar yang merugikan umat Islam?
Mereka juga seakan tidak sedar pemimpin
utama PH dibarisi oleh ramai tokoh yang pernah menghina Islam, menghina
Rasulullah S.A.W, menghina Sunnah, menghina hari raya umat Islam,
menghina tokoh Ulama Islam dan bertegas tidak mahu mendaulatkan
Perundangan Syariah di negara kita.
Bahkan ada pendukung LGBT, pendukung
pemikiran Islam Liberal, pendukung gerakan Kristianisasi, pendukung hak
asasi manusia yang mahukan kebebasan umat Islam untuk Murtad dan
lain-lain.
Sebelum menang lagi, mereka telah
menunjukkan perseteruan yang terang dan nyata terhadap Islam dan
Institusi Islam di dalam negara. Bayangkanlah setelah mereka dibenarkan
berkuasa.
PH mahu meruntuhkan jahiliyyah moden
versi kerajaan sedia ada dengan menegakkan jahilyyah moden versi mereka
yang lebih teruk lagi! Inna LilLaah wa Inna Ilaihi Raji'un.
Kenapa tidak mahu memberi peluang kepada PAS?
PAS bekerja mengikut pertimbangan hukum
syarak dan mencadangkan penyelesaian masalah negara dan rakyat
berdasarkan pertimbangan neraca pertimbangan hukum syarak.
Sebagai parti politik dalam sistem
demokrasi, PAS akan berfungsi sama ada sebagai kerajaan atau
pembangkang. Dan PAS pernah berpengalaman sebagai kerajaan dan
berpengalaman juga sebagai pembangkang.
Sama ada PAS sebagai kerajaan atau
pembangkang, kedua-dua fungsi itu dijalankan oleh PAS menurut tuntutan
Islam serta kepentingan rakyat dan negara.
PAS telah lama memerintah Kelantan dan
terbukti tidak terpalit dengan isu rasuah. Daripada sudut tadbir urus,
Kelantan mendapat pelbagai anugerah dalam pelbagai sektor.
Dasar-dasar Kerajaan PAS juga, banyak
yang diikut oleh Kerajaan Pusat kerana lebih mengutamakan kebajikan
penjawat awam dan rakyat jelata.
Penutup
Jika dahulu, umat Islam hanya mampu
berdoa agar pemerintah mereka dikurniakan taufik dan hidayah agar
menjadi pemimpin yang baik, berkebajikan, adil dan saksama. Selain
berdoa, mereka juga hanya mampu menasihatkan pemimpin sedia ada sekadar
terdaya.
Untuk menukar pemimpin pada ketika itu
adalah amat sulit. Kebanyakannya memerlukan kepada pertembungan
bersenjata yang melibatkan begitu banyak mudharat yang besar.
Namun kini, rakyat bukan sahaja boleh
berdoa untuk mendapat pemerintah yang baik. Tetapi, boleh juga
menasihati mereka melalui pelbagai medium seperti media, NGO, parti
politik, melalui Sidang Dun dan Sidang Parlimen.
Lebih daripada itu, pada 9 Mei nanti,
rakyat boleh memilih sendiri pemerintah yang mereka kehendaki!
Libatkanlah diri anda dengan proses besar ini. Ini sebahagian daripada
usaha kita untuk mendapatkan pemimpin yang baik. Proses itu mungkin
sedikit kurang menyelesakan. Tapi ia adalah amat penting. Oleh kerana
itu, kita terpaksalah mengharungi proses ini dengan penuh sabar.
Jika kita tidak memilih parti dan calon
yang baik, maka parti dan calon yang tidak baiklah yang akan memimpin
kita untuk 5 tahun yang mendatang. HARAKAHDAILY
Buatlah Pilihan Bijak!
*ZAKARIA ISMAI,AJK PAS Kawasan Marang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan