HALAMAN SANTAI
Rabu, 4 April 2018
Demi akidah, Zahid janji hapus 100% judi di Kelantan
MACHANG: Barisan Nasional (BN) akan menghapuskan kegiatan perjudian 100% di Kelantan sekiranya rakyat memberi mandat mentadbir negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid turut menepis dakwaan jika BN kembali mentadbir negeri ini ia akan menghalalkan kegiatan perjudian.
“Saya selaku menteri dalam negeri mengarahkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan timbalannya Datuk Din Ahmad untuk menghapuskan kegiatan perjudian 100%,” katanya berucap pada majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Machang semalam.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku Pengerusi BN Kelantan dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Ahli Parlimen Machang.
“Ini komitmen saya, ini janji saya, janji yang ditepati, saya tidak ada kompromi dalam soal akidah dan ibadah,” katanya yang juga naib presiden Umno.
Zahid berkata Ops Dadu dilaksanakan oleh polis bagi membanteras kegiatan perjudian di seluruh negara.
“Operasi Dadu dijalan oleh PDRM bukan hanya arahan khas kepada (polis) Bukit Aman malah di semua polis kontinjen dan ibu pejabat polis daerah, jika ada di kalangan pegawai dan anggota polis yang bersekongkol dengan mana-mana tauke judi atau sindiket judi, saya tidak akan kompromi pasti tindakan akan dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan BN juga memberi komitmen untuk membanteras sepenuhnya pil kuda (methamphetamine) kerana Kelantan adalah negeri terbesar pengedaran dadah tersebut.
“Walaupun indeks jenayah di Kelantan telah turun, apabila BN ambil alih (pentadbiran Kelantan) pastikan ia turun lebih banyak supaya rakyat Kelantan akan rasa lebih selamat,” katanya.
Zahid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.5 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan membaikpulih termasuk masjid, sekolah dan baikpulih rumah penduduk miskin.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan