Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
SHAH ALAM: Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution enggan
mengulas lanjut mengenai penafian Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar
bahawa beliau tidak akan bertanding di Parlimen Permatang Pauh pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Saifuddin menjelaskan bahawa beliau tidak mahu kenyataannya dilihat bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan Izzah.
Terdahulu, Saifuddin menyatakan bahawa Izzah bakal bertanding di Permatang Pauh seperti yang dilaporkan The Star.
Namun kelmarin Izzah berkata tidak akan menggantikan ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di kerusi berkenaan.
"Saya takmau cakap dalam media seolah-olah kenyataan saya bertentang dengan Izzah.
"Izzah dan saya merupakan pengarah pilihanraya. Jadi keputusan mesyuarat pilihan raya adalah sama antara saya dengan Izzah.
"Jadi saya tak mahu komen seolah-olah adanya perbezaan antara dua pengarah pilihan raya," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Dalam masa yang sama, Saifuddin menjelaskan agihan kerusi Pakatan Harapan (PH) sudah pun selasai dan dimuktamadkan.
"Kerusi semua sudah selesai apabila negeri Selangor telah memuktamadkan
agihan kerusi. Dengan itu, lengkaplah pebahagian kerusi PH untuk
seluruh negara.
"Maksudnya tiada kekangan buat PH kerana semua kerusi sudah diselesaikan," jelasnya.
Mengulas berkenaan calon yang bakal bertanding, Saifuddin mendakwa
pengumuman calon PH untuk PRU14 akan diumumkan dalam masa yang terdekat.
Beliau juga menjelaskan bahawa parti PKR dan PPBM bakal mengumumkan
calon secara serentak. Sementara DAP dan Amanah sudah pun mula
mengumumkan calon mereka secara berperingkat.
"Yang belum umum secara berperingkat ialah PKR dan PPBM. Kita
mencadangkan untuk mengumumkan secara serentak seluruh negara,"
tambahnya.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh ialah kerusi tradisi milik PKR yang
dimenangi menerusi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau bertanding dan
memenangi kerusi itu sejak 1982, kecuali pada 1999.
Pada 2004 ia dimenangi isterinya, Wan Azizah selepas beliau disabit hukuman penjara atas tuduhan meliwat.
Wan Azizah berjaya menewaskan 3 pencabar lain dengan kelebihan 8,841 undi pada 2015.
Sementara Nurul Izzah pula memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai pada
2008 selepas mengalahkan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul
Jalil dengan majoriti 2,895 undi
Kemudiannya menewaskan bekas menteri Wilayah Persekutuan dan
kesejahteraan bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin dengan
kelebihan 1,847 undi pada 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan